Putera Harry dan Meghan Markle. foto Agensi

LONDON – Putera Harry dan isterinya Meghan Markle telah mengeluarkan amaran terhadap gangguan oleh paparazzi.

Pasangan itu telah melepaskan peranan dan tugas mereka sebagai keluarga diraja untuk memulakan kehidupan baru di Kanada.

Amaran itu dikeluarkan selepas media menerbitkan gambar Meghan berjalan-jalan di sebuah taman di Kanada.

Gambar-gambar itu telah digunakan oleh beberapa media, termasuk di halaman depan the Sun, akhbar harian paling laris Britain.

“Pasukan perundangan Sussexes telah mengeluarkan notis undang-undang kepada akhbar, TV dan agensi foto UK berhubung penggunaan foto paparazzi,” kata sumber diraja, merujuk kepada pasangan itu.

Pada tahun lalu, Putera Harry berpendapat isterinya telah menjadi mangsa buli daripada beberapa media, sama seperti yang dihadapi oleh ibunya, Puteri Diana yang meninggal dunia pada tahun 1997 dalam satu nahas ketika cuba melarikan diri daripada paparazzi.

Susulan kejadian itu, pasangan tersebut menerima ganti rugi besar dan permohonan maaf daripada sebuah agensi berita tahun lalu selepas ia mengambil gambar dari udara rumah mereka di Cotswolds, selatan England, memaksa mereka keluar dari situ.

Sabtu lalu, Istana Buckingham mengesahkan Putera Harry dan Meghan telah melepaskan peranan sebagai ahli keluarga diraja dan mereka tidak akan menggunakan tajuk “Yang Mulia”.

Berikutan itu, Putera Harry dan Meghan akan menanggung perbelanjaan harian sendiri serta menetap di Kanada dan Amerika Syarikat.

Putera Harry mengakui beliau enggan melepaskan peranan daripada kehidupan diraja dan pelantikan tentera tetapi tidak ada pilihan lain demi isteri dan anaknya..- MalaysiaGazette