Gunung Santubong memiliki ketinggian 810 meter.

KUCHING – Rakyat Sarawak sangat bertuah kerana negeri itu kaya dengan kepelbagaian bentuk muka bumi menjadi destinasi tumpuan penggiat rekreasi luar dari seluruh dunia.

Apatah lagi bagi peminat aktiviti mendaki gunung, nama Gunung Santubong wajib termasuk dalam senarai yang perlu ditawan.

Gunung yang memiliki ketinggian sekitar 810 meter terkenal dengan kisah legenda seorang puteri bernama Puteri Santubong terletak kira-kira 35 kilometer dari bandar raya Kuching.

Bagi pendaki yang ingin ke sana, anda boleh memulakan pendakian di Bukit Puteri yang popular dalam kalangan pendaki tempatan kerana laluan sedikit pendek berbanding pintu masuk di Taman Negara Santubong.

Laluan awal pendakian seperti berada di sebuah kebun.

Penulis telah berkesempatan menyertai kumpulan pendaki dalam misi ke puncak gunung itu bersama 15 pendaki anjuran OHANA Adventure Sport (OHANA) iaitu organisasi program pendakian yang menawarkan pakej mampu milik dalam dan luar negara.

Memulakan pendakian seawal 9 pagi, laluan awal pendakian Gunung Santubong sedikit menaik yang memberi peluang kepada kami untuk memanaskan badan.

Pada masa sama, laluan itu selamat walaupun agak berakar kerana memiliki papan tanda yang jelas bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini seperti sesat.

Suasana yang ditempuh ketika itu seperti berada di sebuah kebun kerana pendaki bertemu dengan pelbagai jenis dan pokok dalam cuaca yang redup.

Hampir 45 minit berjalan, kami tiba di hentian pertama yang dikenali CP7 daripada keseluruhan CP15 untuk sampai ke puncak.

Bagi yang ingin melepaskan lelah dan membasah tekak, di sini kawasan yang sesuai kerana terdapat meja dan bangku yang didirikan bagi keselesaan pendaki.

Meneruskan pendakian, bermulalah trek yang boleh dianggap kejam kerana ia bertukar ke laluan berbatu dan menegak selain perlu mengelak akar-akar pokok yang bersirat.

Lebih mencabar, terdapat tangga besi yang dipasang untuk kemudahan dan keselamatan pendaki. Bagi yang memiliki perasaan gayat, tipsnya adalah jangan pandang ke bawah ketika mendaki ketika itu.

Memanjat tangga besi yang cukup mencabar.

Untuk lebih selesa, pemakaian sarung tangan digalakkan kerana pendaki harus berpaut pada tangga itu untuk memanjat dinding batu menegak 90 darjah untuk melepasi halangan lain.

Bagi pendaki yang kali pertama mendaki Gunung Santubong, aspek keselamatan sewaktu memanjat tangga besi ini perlu diambil serius dan tidak boleh dibawa bergurau.

Jangan bergerak tergesa-gesa ketika mendaki kerana kecuaian boleh membawa kecederaan serius sekiranya terjatuh kerana terdapat tangga besi yang mencecah ketinggian rumah dua tingkat.

Selepas tiga jam berjaya memanjat tangga dan merentasi halangan sedia ada, kami sampai ke puncak Gunung Santubong pada pukul 1 petang. Agak bertuah, ketibaan kami disambut cuaca yang baik serta hembusan angin yang mendamaikan.

Puncak Gunung Santubong yang mendamaikan.

Di puncak Gunung Santubong, terdapat pondok kecil yang boleh memuatkan kira-kira 20 orang untuk berehat dan menikmati bekalan makanan yang dibawa.

Ada kawasan lapang dengan pemandangan menarik menghadap Sungai Santubong. Pada ketinggian 810 meter, kami dapat menyaksikan keindahan alam di samping ketenangan dan lautan yang terbentang luas.

Selepas berehat selama 30 minit kami memulakan perjalanan turun yang memerlukan daya ketahanan yang tinggi.

Jika tadi kami diuji dengan pendakian menegak, kali ini kami diuji untuk menuruni tangga yang sama dengan cabaran lebih getir.

Pemandangan antara muara dan lautan yang terbentang luas.

Ini kerana sewaktu menuruni tangga, penglihatan pendaki untuk memijak dan meletakkan kaki pada tangga amat terhad dan berisiko tinggi untuk jatuh.

Perlu diingat, pendaki perlu berhati-hati dan jangan gopoh menuruni tangga berkenaan.

Kami mengambil masa dua setengah jam untuk sampai ke tapak pendakian Bukit Puteri bagi mengakhiri aktiviti kali ini.

Secara keseluruhan, pendakian Gunung Santubong mempunyai cabaran dan pengalaman tersendiri yang berbeza dengan gunung lain.

Pengalaman memanjat tangga besi adalah sesuatu yang istimewa dan akan kekal terpahat dalam ingatan.

Pendaki perlu bersedia dengan mental yang kuat untuk mendaki Gunung Santubong.

Bagi pendaki yang ingin melihat keindahan Santubong, bersedialah secara fizikal dan mental bagi mengharungi perjalanan yang penuh cabaran, namun ia berbaloi apabila tiba di puncak.

Sementara itu, Ohana kini menawarkan pakej mendaki Meneroka Khazanah Berharga Negeri Sarawak pada harga RM599 sahaj.

Mereka yang berminat program anjuran OHANA boleh melayari Facebook: OHANA Adventure Sport atau hubungi talian 013-616 0548. – MalaysiaGazette