KUALA NERANG – Dalam usaha meringgankan bebanan mangsa banjir, PEN Express Worldwide (M) Sdn Bhd dengan kerjasama Proton Persona Owner Club dan Santai Anak Utara serta Tobaki & Roti Merdeka menggerakan misi bantuan satu lori kontena barangan keperluan asas di negeri ini.
Lokasi agihan bantuan dilakukan di sekitar Kuala Nerang, Pokok Sena, Anak Bukit dan Gunung Keriang.
Pengurus Operasi PEN Express Worldwide (M) Sdn Bhd, Muhamad Khuhazry Khuzaimi berkata, misi bantuan memberi fokus kepada penghantaran barangan keperluan asas untuk meringankan beban keluarga yang kehilangan tempat tinggal atau terjejas teruk akibat banjir.

“Antara yang diberikan termasuk beras, sardin, roti, gula serta pelbagai barangan lain.
“Kami bangga dapat menjalankan tanggungjawab sosial korporat ini bersama rakan-rakan yang dedikasi dan diharapkan bantuan ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada mangsa banjir yang terjejas.
“Misi penghantaran satu lori kontena bantuan ini mungkin satu langkah kecil namun kami percaya ia memberi impak besar buat yang memerlukan dalam usaha mengurangkan penderitaan mereka,” katanya.
Tambah Muhamad Khuhazry, misi itu juga adalah bukti perpaduan rakyat di negara ini mampu mengatasi cabaran dan sebagai syarikat swasta, pihaknya menyahut seruan Perdana Menteri dan kerajaan untuk bergerak bersama demi kepentingan rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette
















