Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Tiada kes membabitkan 2019 novel koronavirus (2019-nCoV) atau virus Wuhan baharu dilaporkan di Malaysia setakat ini, namun pihak berkuasa meneruskan langkah-langkah proaktif dalam mengesan dan mencegah penularan penyakit itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata selain meningkatkan saringan di pintu masuk, usaha itu juga menyaksikan kerjasama negara jiran Singapura, yang tampil berkongsi maklumat.

Hasil maklumat Kementerian Kesihatan Singapura lapan warga China, terdiri daripada empat orang dewasa dan empat orang kanak-kanak, yang tiba di Johor Bahru dari Singapura semalam dikuarantin di sebuah hotel, bagi tujuan pemantauan oleh Jabatan Kesihatan Johor (JKN).

“Kesemua mereka merupakan rakan seperjalanan seorang lelaki warganegara China berusia 66 tahun dari Wuhan, yang tiba di Singapura pada 20 Jan lepas dan disahkan positif bagi koronavirus,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata maklumat tersebut, JKN bertindak dengan cepat dengan mencari kesemua kontak dan melaksanakan saringan dan tidak menemui tanda ataupun sintom jangkitan dan mereka akan dipantau sehingga 14 hari atau sehingga mereka kembali ke negara mereka.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menghargai kerjasama rapat dan berkongsi maklumat berkaitan informasi kesihatan yang diberikan rakan dari Singapura.

“Kerjasama bilateral ini akan terus dieratkan antara kedua negara. MOH akan terus memantau perkembangan terkini penularan 2019-nCoV di China menerusi maklumat diperolehi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan sumber-sumber rasmi lain,” katanya.

Media antarabangsa melaporkan, di China sahaja lebih 800 kes disahkan dengan 25 kematian dikaitkan dengan virus Wuhan.

Berdasarkan kronologi penyebaran virus itu, kes virus seumpama pneumonia pertama dilaporkan di Wuhan, China pada 31 Dis, sebelum merebak ke negara lain termasuk Singapura 3 kes, Thailand, Jepun dan Korea, masing-masing 2 kes serta Amerika Syarikat, 1 kes sehingga ini.

Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan pada Khamis mendapati kesemua empat kes di Malaysia yang disyaki dijangkiti virus Wuhan sebelum ini, masing-masing dua di Selangor dan Sabah, negatif bagi virus itu.

Sementara itu beberapa lagi pihak berkaitan juga mengambil langkah-langkah proaktif, antaranya syarikat penerbangan AirAsia dan Malindo Air yang menghentikan sementara semua penerbangan ke dan dari Wuhan di China, sebagai langkah keselamatan.

Kementerian Luar Negara dalam satu kenyataan hari ini berkata, mereka telah mengikuti keputusan China untuk meneruskan penggantungan perjalanan atas tujuh lagi bandar – Huanggang, Ezhou, Chibi, Xiantao, Qianjiang, Zhijiang and Lichuan – selain Wuhan bagi mengawal penularan penyakit tersebut.

Kedutaan Malaysia di Beijing telah menggerakkan Pasukan Respond Kecemasan untuk membantu rakyat Malaysia di kawasan yang terlibat.

Kementerian Luar Negara juga menyatakan usaha yang sama juga diambil oleh pejabat konsulat Malaysia di China – Guangzhou, Hong Kong, Kunming, Nanning, Shanghai and Xi’an, dan juga di Malaysian Friendship and Trade Centre di Taiwan.

“Rakyat Malaysia yang tinggal atau melancong ke kawasan yang terjejas, dinasihatkan memberikan keutamaan kepada kesihatan dan keselamatan peribadi, dengan mengambil langkah sepatutnya dan mengikuti arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan, termasuklah mengelakkan berada di tempat awam dan segera mendapatkan rawatan jika mereka menghidapi simtom seperti demam, batuk atau kesukaran bernafas dalam tempoh 14 hari selepas pulang daripada kawasan terjejas,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam perkembangan lain, bagi membantu dan menggalakkan rakyat Malaysia melindungi diri daripada kes-kes wabak yang sedang berleluasa, platform e-dagang terkemuka – Shopee memudahkan pencarian produk seperti topeng muka pembedahan, pembersih tangan, cecair dan penyembur disifeksen, tisu basah serta pencuci tangan antibakteria di halaman Keperluan Anti-Influenze -https://shopee.com.my/m/anti-influenza -necessities.- BERNAMA