LONDON – Manchester United dikatakan telah mengenal pasti dua sasaran baharu menjelang minggu akhir perpindahan bulan Januari ini.

Skysports melaporkan, kedua-dua sasaran itu adalah Odion Ighalo dan Islam Slimani.

United kini dikatakan dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan pemain baharu bagi menampung kehilangan beberapa tonggak utama yang mengalami kecederaan.

Situasi di kem United terutamanya di barisan serangan bertambah buruk lagi selepas kehilangan Marcus Rashford selain kegagalan mereka untuk mendapatkan Erling Haaland, yang memilih Borussia Dortmund.

United juga mempunyai penyelesaian dengan merancang untuk merekrut pemain hanya dengan status pinjaman jangka pendek, mungkin hanya sampai akhir musim ini.

Ighalo yang pernah bermain di Liga Perdana Inggeris dengan Watford kini bersama kelab Liga Super China, Shanghai Shenhua.

Sementara itu, status Slimani sebagai pemain Leicester City kini sedang menjalani tempoh pinjaman di kelab Ligue 1, AS Monaco. – MalaysiaGazette