Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) diiringi Presiden GERAKAN, Datuk Dr. Dominic Lau (tiga kanan) bersalaman dengan tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina PGRM di Bangunan PGRM, Cheras, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 25 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukan tidak mahu menggugur atau meminda undang-undang yang berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan, tetapi tidak mempunyai mandat dua pertiga dalam Dewan Rakyat.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, bagi menjayakan pindaan undang-undang, kerajaan kadang kala memerlukan sokongan atau persetujuan dari blok pembangkang.

“Kita sudah lakukan banyak yang kita janji, tetapi berkenaan meminda atau menggugurkan satu-satu undang-undang yang ada kaitan dengan Perlembagaan, kita perlukan persetujuan dua pertiga dari Dewan Rakyat.

“Kerajaan PH tidak mempunyai dua pertiga dalam Dewan Rakyat, sebab itu kita perlu dapat sokongan daripada parti lawan juga. (Tetapi) ini tidak mudah.

“Umpamanya, kita bersetuju untuk menganggap Malaysia ini gabungan tiga wilayah, tapi bila kita bawa ke Parlimen, pihak (kerajaan) Sarawak pula tak setuju. Inilah masalahnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Tahun Baru Cina di Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur Selangor (DPCKLS) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Industri Utama, Teresa Kok; dan Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari.

Menurut Dr. Mahathir, hasrat kerajaan PH memang hendak meminda undang-undang yang memerlukan kepada pindaan, tetapi ia kadang kala perlu merujuk kepada perlembagaan, selain ada pihak yang tidak bersetuju. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.