KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 atau Akta 505 dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Ia mengandungi peruntukan berkaitan penguatkuasaan dan pentadbiran undang-undang Islam, penubuhan dan organisasi mahkamah-mahkamah syariah dan perkara yang berkaitan dengannya.
Zulkifli berkata, walaupun Akta 505 sudah dipinda beberapa kali, terdapat peruntukan lain yang memerlukan pindaan selaras perkembangan semasa bagi memperkemas tadbir urus hal ehwal agama Islam di Wilayah Persekutuan.
“Langkah melaksanakan pindaan juga bertujuan memastikan tadbir urus dan operasi agensi agama dapat berjalan dengan lebih baik dan lancar,” katanya.
Sebelum itu, ketika berbahas, beberapa ahli Parlimen membangkitkan kegusaran susulan sebelum ini takrif hukum syarak dalam akta terbabit menyebut ‘ia mengikut mana-mana mazhab diiktiraf’ berbanding cadangan pindaan kepada ‘mengikut Mazhab Syafie atau mengikut mana-mana satu mazhab Maliki, Hanafi atau Hambali’.
Antaranya Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) mempersoalkan keperluan untuk pindaan dibuat bagi takrif hukum syarak.
“Dulu kita terbuka iaitu hukum syarak mengikut mana-mana mazhab diiktiraf… sekarang menteri dan timbalan ilmu tinggi tetapi kita jumudkan pula khusus kepada Mazhab Syafie, Hanafi, Hambali atau Maliki.
Zulkifli ketika menjawab perkara itu menjelaskan isu itu tidak berbangkit.
“Ia tidak menyempitkan kerana dalam seksyen lain (RUU ini), mufti dalam membuat fatwa akan merujuk tatacara sebagaimana diperuntukkan dalam Seksyen 39.
“Ia tidak buatkan ia sempit kerana Seksyen 39(3) memperuntukkan jika mufti berpendapat tidak ada satu pun qaul muktamad (pendapat yang diterima) yang boleh diikuti tanpa membawa kepada keadaan berlawanan dengan kepentingan awam maka mufti boleh menyelesaikan mengikut hemat sendiri tanpa terikat dengan qaul muktamad daripada empat mazhab itu,” katanya. – MalaysiaGazette