KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan AirAsia Berhad membenarkan semua kru kabin memakai topeng hidung dan mulut bagi semua penerbangan ke China.
Dalam notis kepada kakitangan anak kapal, syarikat itu berkata, sebagai langkah pencegahan untuk semua penerbangan di China, kru kabin boleh menggunakan budi bicara mereka untuk memakai topeng semasa di lapangan terbang dan semasa penerbangan jika terdapat mana-mana tetamu didapati mengalami simptom demam, batuk, sakit tekak, selsema dan lain-lain.
Bagaimanapun, untuk penerbangan ke destinasi lain anak-anak kapal tidak digalakkan berbuat demikian kecuali para penumpang didapati ada simptom-simptom influenza.
Notis itu dipercayai dikeluarkan berikutan peningkatan gejala koronavirus yang semakin menular di China dan di beberapa negara lain.
Setakat ini, virus tersebut telah mengorbankan 56 orang.
Kanada dilaporkan menjadi negara terbaharu kes wabak itu. – MalaysiaGazette