Dr. Asmah razalli
Dr. Asmah razalli

KUALA LUMPUR – Ketika negara lain mengumumkan darurat dan ada antaranya bertindak tegas menghantar balik warga China kerana bimbang dengan wabak koronavirus, Malaysia masih lagi menunjukkan sikap lemah lembutnya membenarkan pembawa virus itu memasuki negara ini.

Keputusan kerajaan tidak tegas dan memandang ringan dengan wabak virus itu menyebabkan rakyat Malaysia kini berada dalam ketakutan dan kebimbangan.

Ketua penaja Pergerakan Wirawati Putra Malaysia, Dr. Asmah Razalli berkata, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu tegas memberi taklimat jelas kepada Perdana Menteri agar menutup pintu sementara dari kemasukan rakyat China ke negara ini.

“Kita juga mengharapkan KDN dapat menghentikan pengeluaran visa kepada warga China sehingga wabak itu dapat dikawal atau kerajaan negara itu berjaya menyelesaikannya.

“Seperti kita maklum, Hong Kong sendiri telah mengumumkan darurat kerana tidak mahu wabak koronavirus menjadi seperti SARS suatu ketika dahulu.

“Kerajaan Filipina pula bertindak menghantar pulang serta merta rakyat China yang disyaki membawa penyakit koronavirus kerana tidak mahu bertanggunjawab atas sebarang penularan wabak yang boleh membawa maut di negara itu,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Dr. Asmah, sudah sampai masanya kerajaan Malaysia bertegas dan memahami ketakutan rakyat dengan penularan wabak itu.

Katanya, nyawa rakyat adalah paling bernilai melebihi perdagangan, pelancongan mahupun menjaga hati kerana wabak membawa maut bukan untuk dikongsi.

“Kesungguhan Kementerian Kesihatan dalam menangani masalah wabak ini amat dihargai, tetapi KDN pula seolah tidak mengutamakan langsung soal kemaslahatan rakyat.

“Kita faham protokol antarabangsa yang digaris World Health Organization (WHO) belum mengisytiharkan untuk menutup pintu kepada rakyat China keluar masuk sempadan antarabangsa, tetapi kita berkuasa penuh ke atas negara kita dan kita berhak menghalangnya untuk sementara,” katanya.

Beliau turut menyatakan simpatinya dengan wabak maut koronavirus yang berlaku di Wilayah Wuhan dan telah meragut nyawa lebih 42 mangsa serta 1,400 individu dikuarantin,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. PH dan yang seangkatan dengannya… baik pergi ke Wuhan tolong orang disana… kalau mati… tanam je kat sana yea…

Comments are closed.