Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mendengar taklimat di Pusat Pemantauan Saringan suhu badan di Terminal Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 27 JANUARI 2020

SEPANG – Kementerian Kesihatan mengesahkan menerima laporan seorang lagi suspek 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) di Bintulu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata suspek yang merupakan seorang wanita kini dikuarantin di Hospital Bintulu sehingga keputusan ujian makmal selesai.

Sebelum ini empat pelancong dari negara China disahkan positif koronavirus dan sedang menjalani rawatan di hospital.

“Kita baru terima laporan itu dan saya bercakap langsung dengan Pengarah Hospital Bintulu, beliau atau suspek ditahan di hospital kita menunggu keputusan makmal IMR tentang kedudukannya ( keputusannya). Pesakit dalam keadaan stabil,” katanya dalam sidang media di sini.

Dzulkefly sebelum  itu membuat tinjauan penyaringan koronavirus di KLIA dan KLIA2.

Terdahulu satu laporan polis berhubung individu yang mengalami simptom koronavirus di Bintulu menjadi tular di media sosial.

Laporan itu antaranya menyebut wanita berusia 25 tahun berkenaan ke Wuhan atas urusan kerja pada 11 Januari lalu sebelum tiba dan transit di Kota Kinabalu Sabah lima hari.

Dia terus bekerja di pejabat seperti biasa dan pada 26 Januari wanita itu pergi ke Hospital Columbia Asia untuk mendapatkan rawatan selepas mengalami demam.

Terkini sehingga semalam bermula 1 Januari, 164,692 pelancong yang tiba di negara menerusi semua pintu masuk antarabangsa sudah disaring oleh KKM.

Sembilan daripadanya telah dirujuk untuk pemeriksaan lebih lanjut.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast