Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Airasia Bhd. melanjutkan pengantungan semua penerbangannya dari dan ke Wuhan China sehingga jam 11 malam 28 Januari 2020 (pada 1500 GMT+8).

Syarikat penerbangan tambang murah itu juga membenarkan penumpang yang telah menempah tiket dari semua destinasi di tanah besar China untuk mengekalkan akaun kredit atau dipulangkan wang sepenuhnya.

Dalam satu kenyataannya di sini hari ini, AirAsia menjelaskan para penumpang yang terjejas boleh mengekalkan nilai tambang dalam akaun AirAsia BIG Loyalty bagi penerbangan akan datang dengan syarikat tersebut.

Akaun kredit dalam talian boleh ditebus semula untuk penempahan tiket dalam tempoh 90 hari dari tarikh perjalanan yang telah dikeluarkan (issuance date).

“Tarikh sebenar perjalanan boleh dibuat meskipun selepas ianya tamat, asalkan jadual penerbangan kami telah dikeluarkan.

“Terma ini tertakluk kepada tiket-tiket yang telah dikeluarkan sebelum 28 Januari 2020 bagi semua penerbangan ke/dari tanah besar China sehingga 15 Februari 2020 (bagi penerbangan Wuhan ianya dilanjutkan sehingga 29 Februari).

“Para penumpang yang terjejas juga diberi pilihan untuk mendapatkan pulangan wang sepenuhnya menerusi kaedah pembayaran asal.

“Terma ini tertakluk kepada semua penerbangan ke/dari tanah besar China sehingga 15 Februari 2020 dan penerbangan pulang dari 16-29 Februari 2020 yang mana tiket telah dibeli sebelum tarikh 28 Januari,” jelasnya.

Tambah syarikat penerbangan tersebut, permohonan pemulangan semula wang boleh dibuat melalui AVA at support.airasia.com.

Bagi tempahan tiket yang dibuat menerusi ejen pelancongan termasuk ejen dalam talian, permohonan pemulangan semula wang mesti dibuat melalui ejen masing-masing.

“AirAsia memantau rapat situasi ini dan berhak untuk membuat sebarang pengumuman lanjut sejajar dengan perkembangan terkini,” katanya lagi.