Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (dua kiri) bercakap semasa sidang media pada Majlis Pelancaran Video Korporat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Maktab PDRM Cheras, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 28 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil beberapa lagi individu untuk diambil keterangan dalam siasatan pendedahan rakaman audio yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan semalam Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim Abdul Rahim sudah dipanggil dan dirakam keterangan berhubung audio tersebut.

“Selepas Azeez beberapa individu lain yang turut dikaitkan dengan rakaman audio itu akan dipanggil juga dalam masa terdekat untuk diambil keterangan.

“Setakat ini kita belum dapat perkembangan lanjut berhubung kesahihan rakaman audio itu, setakat semalam baru kita panggil Azeez untuk beri keterangan.

“Kita selepas ini akan panggil beberapa individu lain yang dikaitkan dalam hal ini untuk tampil beri keterangan,” katanya selepas menyempurnakan pelancaran video korporat dan lagu tema Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukti Aman hari ini.

Turut dihadir Pengarah JSJN, Komisioner Datuk Seri Mohd Khalil Kader Mohd.

Pada 8 Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, pendedahan sembilan rakaman audio yang didakwa konspirasi jenayah peringkat tertinggi melibatkan tujuh individu termasuk Datuk Seri Najib Razak dan isteri serta dua pemimpin daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah demi kepentingan umum.

Katanya, rakaman tersebut melibatkan perlakuan salah guna kuasa, pecah amanah, tindakan memalsukan dokumen, pendedahan maklumat sulit, ancaman keselamatan negara, konspirasi jenayah, justeru ia perlu didedahkan kepada media seterusnya rakyat tahu mengenainya.

Tambah Abdul Hamid, siasatan kes rakaman audio itu serba terganggu apabila anggota Unit Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman terbeban dengan lambakan kes sehingga terpaksa menyelesaikan kes lain satu persatu.

“Buat masa ini, D5 terbeban dengan terlalu banyak sangat kes, kes perkauman yang sekarang ini macam-macam suka menghasut.

“Hentikanlah kempen benci, kenapa harus sesa makita membenci satu sama lain. Polis tidak akan terdiam lagi. Kita akan siasat seadil-adilnya kes-kes berkaitan.

“Kes-kes dikaitkan dengan kaum, pemandu bas dipukul lelaki Cina, ada pihak cuba hasut orang ramai dengan isu sebegini. Harap mereka hentikan segera atau berdepan tindakan tegas dari polis berlunaskan undang-undang sedia ada,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast