I

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan seorang remaja berusia 19 tahun untuk membela diri dalam pertuduhan membunuh seramai 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang berlaku pada 27 September 2017.

Manakala tertuduh kedua yang juga merupakan rakan kepada tertuduh pertama yang juga remaja berusia 19 tahun yang menghadapi pertuduhan sama dibebaskan oleh mahkamah sama.

Ketika kejadian masing-masing berusia 16 tahun.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah ketika membacakan keputusan berkata, pihak pendakwaan hanya berjaya membuktikan wujudnya kes prima facie bagi tertuduh pertama manakala kedua dilepaskan selepas kekurangan bukti secukupnya bagi tuduhan tersebut.

“Ini keputusan di akhir peringkat pendakwaan dan selepas meneliti kes pendakwaan dan penghujahan semua pihak berkenaan 23 pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pertama. Tertuduh kedua dibebaskan dan tidak diarahkan membela diri,” katanya.

Azman Abdullah juga telah menetapkan tarikh 3 dan 4 Mac bagi perbicaraan membela diri oleh remaja terbabit.

Tertuduh pertama ketika mengetahui keputusan itu yang kemudian dihampiri oleh beberapa ahli keluarga kelihatan tidak dapat menahan sebak dan mula menangis teresak-esak sambil ditenangkan oleh ahli keluarga.

Berdasarkan kertas pertuduhan kedua-dua remaja itu didakwa atas 23 pertuduhan membunuh seramai 23 penghuni pusat tahfiz itu di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini antara jam 4.15 pagi dan 6.45 pagi pada 14 September 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori seandainya sabit kesalahan.

Namun pada masa sama tertuduh di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati mengikut Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim manakala peguam bela Haijan Omar mewakili kedua-dua tertuduh.

Keluarga tertuduh pertama sempat menenangkan dirinya sebelum bergerak keluar dan enggan didekati oleh pengamal media.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi, 14 September 2017, 21 pelajar dan dua warden maut selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan yang terbakar.

Hasil siasatan lanjut yang dijalankan mendapati terdapat unsur khianat dalam kejadian terbabit.- MalaysiaGazette