Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengarah Kesihatan Pahang Dr Bahari Awang Ngah hari ini menafikan dakwaan yang ditularkan dalam laman sosial Facebook mengatakan satu kes jangkitan Koronavirus Novel 2019 (2019-nCoV) dikesan dan sedang dirawat di Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Pahang.

Sebaliknya beliau berkata, pesakit warganegara Malaysia yang ditularkan itu menerima rawatan untuk jangkitan virus korona biasa sahaja.

“Siasatan kami mendapati pesakit terlibat merupakan warganegara Malaysia dan telah menerima rawatan kerana mendapat jangkitan virus korona yang biasa.

“Pesakit juga tiada kaitan dengan perjalanan ke Wuhan mahupun China dalam tempoh 14 hari sebelum jatuh sakit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu Bahari meminta orang ramai tidak menularkan berita tidak sahih berhubung penyakit itu yang boleh menimbulkan kekeliruan dan panik dalam kalangan masyarakat.

Beliau turut memaklumkan pemilik akaun Facebook yang membuat dakwaan palsu itu telah memohon maaf dan mengaku silap memuat naik hantaran yang mengelirukan rakyat.

“Pihak admin laman Facebook itu juga mengeluarkan kenyataan memohon maaf atas kesilapan memuat naik hantaran itu yang mengakibatkan kekeliruan di laman sosial berkenaan,” tambahnya. – MalaysiaGazette