Berita palsu yang disebar dan ditular menerusi aplikasi Whatsapp dan Facebook ini telah dinafikan Kementerian Kesihatan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 14 laporan berkaitan wabak novel koronavirus (2019-nCoV) disahkan sebagai palsu.

Laporan itu yang disebarkan menerusi aplikasi Whatsapp dan ditular di media sosial Facebook telah dinafikan dan diberi penjelasan oleh Kementerian Kesihatan.

Bagaimanapun, empat berita palsu yang dimuatnaik oleh empat netizen berhubung wabak itu kini dalam siasatan polis.

Menurut info Kementerian Kesihatan, berita palsu itu sengaja digembar gemburkan oleh pihak tidak bertanggungjawab supaya menimbulkan panik, gelisah dan kebimbangan rakyat.

Antara berita palsu yang telah dinafikan ialah kononnya seorang budak berumur tujuh tahun dikatakan positif virus Wuhan di Hospital Likas, Sabah; dan menyenaraikan kawasan wabak koronavirus di Selangor serta mengatakan kerajaan menempah wabak free (percuma).

Berita palsu mengenai wabak Wuhan atau koronavirus disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

Turut disebarkan ialah, dikatakan juga terdapat seorang pelancong China positif Wuhan virus yang bebas di Tropicana 218 Macalister, Pulau Pinang; dan kes pertama koronavirus di hospital swasta di Kuantan, Pahang.

Kementerian Kesihatan juga turut menafikan berita palsu di Facebook yang menularkan beberapa keping gambar didakwa ratusan warga China tiba di Langkawi untuk lari dari wabak koronavirus.

Turut tersebar berita palsu kononnya, seorang meninggal selepas kejang dan pengsan dikatakan kerana virus Wuhan di Shah Alam, dan menyebarkan satu berita menyatakan, kes pertama 2019-nCoV dikatakan ditemui di Hospital Seberang Jaya melibatkan dua pelancong China.

Berita palsu juga disebar menerusi aplikasi Whatsapp mendakwa, bapa kepada murid Sekolah Kebangsaan Paka sakit tenat selepas tiga hari pulang dari umrah kerana virus Wuhan.

Di laman media Twitter juga turut disebarkan berita tidak benar kononnya Mahkota Medical Centre di Melaka telah ditutup disebabkan berlaku kematian akibat virus Wuhan, dan dikatakan terdapat satu kes jangkitan Wuhan virus di Hospital UIA, Kuantan.

Kementerian Kesihatan juga menafikan berita tidak benar yang disebarkan kepada umum iaitu suspek pertama virus Wuhan dikatakan dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban, dan dakwaan mengatakan terdapat pesakit koronavirus di KPJ Seremban.

Tiga lagi berita palsu yang ditular di Facebook dan telah dinafikan oleh kementerian itu ialah dikatakan seorang warga Wong Tong, China disyaki terkena jangkitan koronavirus di Poliklinik Ayer Keroh, Melaka.

Dua lagi ialah imej virus di bawah kanta berkuasa tinggi dikatakan sebagai koronavirus, dan lima individu baru pulang dari Euhan disyaki koronavirus serta ditahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Sementara itu, empat netizen yang dalam siasatan polis ialah Mr. Kong Tuck Wah, Ibu Yati, Roti Sardeen dan Facebook Group Gabungan Anak Terengganu (Original) yang memuatnaik berita palsu mengenai wabak koronavirus.

Keempat-empat kes itu disiasat di bawah Seksyen 203(A) Kanun Keseksaan (pendedahan maklumat), seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian), dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan (menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau kepada mana-mana golongan awam). – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Apa2 pun sehingga HARI INI Malaysia merupakan ANTARA negara tertinggi didunia diluar China yang mempunyai jumlah pesakit postitif coronavirus yang MEMBUNUH ini!

    BENAR atau PALSU?

Comments are closed.