Peguam merangkap Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Mohd Khairul Azam Abdul Aziz serta yang lain menunjukkan laporan polis terhadap pegawai polis bangsa India yang dikatakan rasis apabila memaksanya memecat tanjak di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 29 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Seorang peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz menyerahkan surat mengenai ketidakpuasan hatinya berhubung tindakan tidak profesional seorang pegawai penyiasat ketika sesi soal siasat pada 22 Januari lalu di Balai Polis Dang Wangi, dekat sini.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Putra Malaysia berkata, dalam surat itu, menyatakan tiga perkara berhubung tingkah laku pegawai penyiasat terbabit, yang dikatakan berunsur perkauman dan menafikan haknya sebagai warganegara Malaysia.

Katanya, surat yang mengandungi sembilan perenggan aduan itu diserahkan kepada Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya, kira-kira jam 2.30 petang ini.

Menurut Mohd Khairul Azam, dalam surat itu beliau melaporkan sikap perkauman dan anti Melayu oleh pegawai penyiasat Cawangan D5 Jenayah Terkelas yang memintanya menanggalkan tanjak yang dipakainya.

“Kedua, aduan saya mengenai sikap tidak ambil peduli pegawai terbabit terhadap hak perlembagaan saya untuk berunding dengan peguam pilihan saya ketika dipanggil untuk mendapatkan keterangan.

“Dan ketiga, sikap mengugut serta menakut-nakutkan saya dengan proses tangkapan atas alasan kononnya saya enggan membantu siasatan polis.

“Saya juga menulis dalam surat ini bahawa saya sendiri sebagai peguam yang berpengalaman selama 15 tahun dan saya telah beratus kali mengiringi anak guam saya ke balai polis seluruh Malaysia untuk memberikan keterangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyerahkan surat itu kepada Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard di Bukit Aman, hari ini.

Pada 22 Januari lalu, Mohd Khairul Azam mendakwa pegawai penyiasat dari Unit Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman yang mahu mengambil keterangan daripadanya sebagai tidak profesional dan bersifat rasis.

Beliau mendakwa, pegawai tersebut terpengaruh dengan kes yang sedang disiasatnya hingga perwatakannya bertukar menjadi kasar secara tiba-tiba.

Menceritakan kejadian itu, Mohd Khairul Azam berkata, beliau telah dihubungi oleh pegawai berkenaan yang memintanya supaya hadir ke Bukit Aman untuk diambil keterangan berhubung sebuah rakaman video miliknya yang menjadi tular baru-baru ini.

Katanya, beliau hadir ke ibu pejabat polis berkenaan tepat pada waktunya, bagaimanapun telah diberi layanan tidak sepatutnya oleh pegawai berkenaan hanya semata-mata beliau membawa seorang peguamnya.

Menurut peguam itu lagi, berikutan itu juga beliau telah membuat satu laporan polis di IPD Jalan Travers dan kes berkenaan telah dibuka kertas siasatan serta disiasat oleh polis IDP Dang Wangi.

“Pada ketika itu, saya telahpun selesai memberi keterangan kepada pegawai penyiasat IPD Dang Wangi dan hari ini hadir ke Bukit Aman untuk menyerahkan sendiri surat aduan kepada Zamri.

“Saya tidak pasti status aduan saya tempoh hari sama ada dibuka kertas siasatan jenayah terhadap pegawai polis itu atau pun kes berkenaan dirujuk ke mana-mana pihak, saya tidak pasti.

“Tetapi saya percaya Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard iaitu cabang penting dalam polis yang menjaga integriti dan profesionalisme anggota polis akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Mengulas kandungan lain dalam surat itu, beliau menyatakan, pihaknya memohon agar jabatan berkenaan menyiasat dan sekiranya aduan itu berasas, mereka perlu mempertimbangkan untuk mengenakan tindakan tatatertib terhadap pegawai polis berkenaan yang berkelakuan tidak profesional terhadapnya.

Menurutnya, ini pertama kali beliau berjumpa dengan pegawai penyiasat yang cuba menafikan hak orang yang disiasat untuk diambil keterangan bersama peguam.

“Inilah kali bertama saya berhadapan dengan pegawai penyiasat yang tidak profesional, yang tidak cekap, perkauman melampau, angkuh, sombong dan bongkak dengan kuasa yang disandangnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.