KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) perlu diwujudkan segera bagi menyiasat dakwaan Tabung Haji (TH) mengalami defisit RM4.1 bilion ketika pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional (BN).
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, sekiranya apa yang didedahkan oleh Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berasas, RCI perlu ditubuhkan.
“Mengapa defisit RM4.1 bilion pada 2017 seperti didakwa oleh YB Menteri (Mujahid) telah meningkat RM17.8 bilion sehingga kerajaan terpaksa mengumumkan ‘bail-out’ pada Mac 2019?
“Apakah asas dan justifikasi yang digunapakai dan ke manakah perginya RM13.7 bilion tambahan tersebut?
“(Oleh kerana itu) penubuhan RCI bagi menyiasat secara telus, bebas dan tanpa pengaruh politik akan keseluruhan dakwaan penyelewengan serta salah laku yang berlaku dalam TH,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Asyraf melalui wakil rakyatnya selaku Ahli Parlimen Paya Besar, Shahar Abdullah akan membuat usul kepada sidang Parlimen akan datang berhubung dakwaan tersebut.
“Kalau betul ada defisit RM4.1 bilion, maka RCI perlu dibentuk bagi menyiasat perkara itu kerana Mujahid ketika itu mengeluarkan kenyataan yang menakutkan pelabur TH.
“Kita ada wakil dari Paya Besar akan mengusulkan supaya RCI ini ditubuhkan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.
“Dengan cara ini nama baik Barisan Nasional (BN) yang dilabel sebagai perompak dapat dibersihkan,” katanya.
Selain itu, katanya, Pergerakan Pemuda UMNO juga akan membawa usul penubuhan RCI itu kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
“Kalau ada manipulasi akuan TH, kita nak perkara ini disiasat segera. Dakwaan ini serius dan besar.
“Jika dakwaan itu, bermakna laporan audit yang dibentang di Parlimen juga adalah tidak sah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Untuk lebih transparent eloklah tubuh RCI, tak rugi apa2 pun! Suroh Mahfoz jadi chairman RCI? Kah..kah..kahhh