KUALA LUMPUR – Pelaksanaan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan mencetuskan tekanan dan jurang pendidikan kepada anak-anak di luar bandar.
Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin berkata, ia sekali gus akan menjadikan hasrat dan cita-cita ‘Pendidikan Untuk Semua’ tidak akan terlaksana, malah hanya akan berkesan untuk
sesetengah lapisan masyarakat sahaja.
“Dari dahulu, Keadilan (PKR) kekal dengan prinsip untuk tidak bersetuju dengan pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana saya berpendapat yang perlu diutamakan dalam memastikan anak-anak menguasai subjek Sains dan Matematik bukanlah melalui Bahasa Inggeris, tetapi yang lebih penting adalah keberkesanan akan kaedah dan inovasi pembelajaran dalam kedua-dua subjek tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau yang juga ADUN Seberang Jaya berkata, malah peratusan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2018 yang mencapai tahap penguasaan minimum dalam mata pelajaran Matematik adalah 81.15 peratus, manakala bagi mata pelajaran Sains adalah 96.12 peratus.
Tambah beliau, ini jelas membuktikan bahawa keberhasilan dalam
penguasaan subjek Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda adalah lebih baik dan memudahkan para pelajar khususnya di kawasan pedalaman untuk mempelajari kedua-dua subjek ini.
Afif berkata, mengikut resolusi pendidikan yang diluluskan oleh UNESCO (1951:691) menyatakan bahawa pembelajaran mata pelajaran terpenting di peringkat sekolah rendah lebih sesuai diajar dalam bahasa setempat.
“Korea, Jepun, Finland dan negara-negara lain yang maju dalam ilmu dan pendidikan, negara-negara ini bersungguh-sungguh untuk mengekalkan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran, tetapi ini tidak menghalang pembangunan negara-negara tersebut,” ujarnya.
Berikutan itu, beliau berharap agar Perdana Menteri yang ketika ini memangku jawatan Menteri Pendidikan untuk tidak melaksanakan semula dasar tersebut bagi membolehkan negara menuju ke landasan yang tepat dalam membentuk anak bangsa yang suka dan cinta untuk belajar dan memperoleh ilmu pengetahuan. – MalaysiaGazette