Orang ramai memakai penutup hidung dan mulut sebagai langkah pencegahan terhadap wabak koronavirus ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 31 JANUARI 2020.

SINGAPURA – Seorang wanita rakyat Singapura berusia 47 tahun yang dibawa  pulang dari Wuhan, China, adalah salah seorang daripada tiga kes import baharu jangkitan 2019 novel koronavirus di republik ini.

Dalam kenyataan terkini Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) berkata dua kes lagi melibatkan rakyat China.

MOH berkata setibanya wanita itu di Lapangan Terbang Changi, dia didapati mengalami demam semasa saringan kesihatan dan dibawa ke National Centre for Infectious Diseases (NCID).

“Dia disahkan positif jangkitan koronavirus Wuhan pada 31 Jan dan pada masa ini dimasukkan ke dalam satu bilik pengasingan di NCID,” kata kementerian itu sambil menambah ketiga-tiga kes mempunyai sejarah pernah ke Wuhan.

Tiga kes baharu itu menjadikan kes koronavirus republik itu kepada 16.

— BERNAMA