Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Pakej rangsangan yang sedang dipertimbangkan oleh kerajaan ekoran penularan koronavirus yang pasti akan memberi impak kepada ekonomi negara.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia bukanlah sekadar memberi suntikan kepada ekonomi namun turut memberi keutamaan terhadap keperluan yang boleh menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

“Bagi tahun 2020, MEA telah menyediakan peruntukan sebanyak RM227 juta untuk pembelian peralatan perubatan dan bukan perubatan untuk semua fasiliti kesihatan di seluruh negara.

“Kementerian juga bersedia untuk mempertimbangkan tambahan peruntukan sekiranya diperlukan. Kerajaan akan memberi keutamaan terhadap kesihatan dan keselamatan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya, kerajaan juga telah mengambil beberapa langkah bagi memastikan kesiapsiagaan negara dalam menangani wabak ini selaras dengan saranan WHO.

Antara langkah yang telah diambil oleh kerajaan termasuk meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai langkah kesihatan yang perlu diambil dalam menangani wabak tersebut.

“Sekiranya penularan wabak ini berlarutan dalam tempoh masa yang panjang dan memberi kesan ke atas ekonomi China, ekonomi Malaysia juga akan terjejas memandangkan China merupakan antara rakan dagangan terpenting Malaysia,” kata Mohamed Azmin.

Antara sektor yang dijangka menerima kesan ialah sektor pelancongan, penerbangan (airlines), pengangkutan, pendidikan, pembuatan dan pembinaan. Pada tahun 2019, Malaysia menerima hampir 26 juta pelancong dan lebih daripada tiga juta orang merupakan pelancong dari China.

Sektor pelancongan menyumbang 15% kepada KDNK negara. Di samping itu, sektor pembuatan dan pembinaan yang bergantung kepada input daripada China juga dijangka akan terkesan sekiranya China memanjangkan tempoh kuarantin atau menambahkan bilangan bandar yang akan ditutup bagi menyekat penyebaran wabak ini.

Dalam hal ini, kerajaan bersama-sama dengan agensi antarabangsa dan pihak swasta akan mengambil langkah proaktif berasaskan kepada fakta dan maklumat terkini bagi mengurangkan kesan negatif penularan wabak ini ke atas ekonomi Malaysia.- MalaysiaGazette