KUALA LUMPUR – Pelancaran jersi baharu Juara Liga Super Malaysia (MSL) enam kali berturut-turut, kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) baru-baru ini untuk musim 2020 telah menimbulkan persoalan.

Dihasilkan dengan dua rekaan, jersi JDT kali ini menampilkan rekaan berjalur merah dan biru untuk jersi home dan putih-emas untuk jersi away namun tiada nama penaja yang terpapar.

Pada musim-musim sebelumnya menyaksikan Forest City tampil sebagai penaja jersi JDT.

Gara-gara pertanyaan daripada penyokong, kelab menerusi Facebook rasmi JOHOR Southern Tigers tampil merungkai persoalan.

Menurut penjelasan tersebut, ketiadaan nama penaja pada bahagian hadapan jersi JDT pada kali ini adalah sinonim dengan Misi RM1 Billion.

Ia adalah gambaran bahawa kelab tersebut mampu berdiri sendiri melalui nilai komersil kelab tersebut.

Misi 1 Billion pertama kali didedahkan kepada umum oleh pemilik, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menyasarkan nilai kelab berkenaan akan mencecah RM 1 billion dalam tempoh dua tahun akan datang.

Katanya, empat syarikat audit terbesar dunia akan membuat penilaian terhadap nila kelab JDT yang merangkumi apa jua aset dan nilai komersil.

“Sasaran kami adalah diberi pengiktirafan dengan kelab ini bernilai RM1 billion dan kalau boleh lebih. Itu perancangan besar saya untuk pastikan JDT sentiasa berada dalam kelas tersendiri.

“Kami juga sedang dalam perbincangan bersama pemegang saham baharu dan antaranya bekas pemain antarabangsa Itali, Marco Materazzi.

“Malah beberapa bekas pemain antarabangsa bertaraf dunia juga menyatakan minat untuk membeli saham kelab JDT dan ketika ini saya memegang majoriti saham iaitu 70 peratus hingga 80 peratus dan akan memberi 20 peratus hingga 30 peratus saham kepada sahabat dan rakan penaja,” katanya pada sidang media pada Disember lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast