KUALA LUMPUR – Biarpun berdepan kontroversi memakai telekung dan berhijab di Tanah Suci, usahawan kosmetik, Nur Sajat sempat meluahkan rasa rindu untuk kembali ke sana.
Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajad Kamaruzzaman memberitahu dia akan datang ke Mekah dan Madinah jika mendapat peluang lagi.
“Rindunya aku di sana. Insya-Allah akan sampai aku sekali lagi. Amin,” katanya ringkas di Instagram Story.
Berdasarkan hantaran di media sosial itu kemungkinan Sajat sudah kembali ke tanah air.
Sajat sebelum ini telah menunaikan ibadah umrah bersama keluarganya namun menimbulkan kontroversi kerana mendaftar sebagai lelaki dan berpakaian lelaki di lapangan terbang sebelum berlepas ke Tanah Suci.
Sebelum itu, agensi pelancongan yang membawa Sajat dan keluarga menunaikan umrah, Albayttravel Sdn Bhd teruk dikecam netizen apabila didakwa ‘membiarkan’ Sajat berpenampilan wanita ketika berada di Tanah Suci memandangkan status jantinanya yang masih diragui.
Bagaimanapun agensi terbabit tampil menafikan tuduhan berkenaan sebaliknya menjelaskan, pihaknya hanya membantu mempermudahkan proses umrah dibuat kerana sudah menyarankan jemaah supaya mengikut garis panduan ditetapkan. – MalaysiaGazette