Mazlan Mansor

KUALA LUMPUR – Pemandu kenderaan termasuk penunggang dan pembonceng motosikal yang gagal mematuhi peraturan jalan raya bakal berdepan tindakan undang-undang berat dan saman maksimum tidak lama lagi daripada Polis Diraja Malaysia.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Mansor berkata, polis kini mempertimbangkan pendekatan penguatkuasaan tegas  rentetan daripada  Op Selamat Tahun Baru Cina 2020 selama 16 hari sehingga 2 Februari lalu yang menyaksikan angka kematian tertinggi.

Katanya, penunggang dan pembonceng motosikal menyumbang angka kematian tertinggi dengan 147 kematian manakala pemandu kereta sebanyak 52 sepanjang Op Selamat.

Menurut beliau, kecuaian ketika keluar atau masuk simpang, memasuki laluan bertentangan, cuba memotong kenderaan lain atau menukar laluan, mengekori kenderaan lain terlalu rapat, membuat pusingan “U” serta, melawan aliran trafik adalah penyumbang utama kepada kemalangan maut.

“Kita boleh lihat  penunggang motosikal di atas jalan raya yang mana kalau lampu merah dia tidak berhenti, tetap masuk. Berani tanpa menghiraukan nyawa lain.

“Kalau mereka dapat (dicekup) kita akan kenakan maksimum denda, tidak akan kompromi lagi, cukuplah nasihat lembut dan pendidikan selama ini.

“Kita akan melaksanakan pendekatan keras yang sewajarnya,” katanya dalam sidang media Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat Tahun Baru Cina 2020 di Bukit Aman kali ini.

Mazlan Mansor (tengah)  menyampaikan juara kategori daerah terbaik kepada Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Barudin Wariso (dua kiri) pada Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah 16/2020 sempena Tahun Baru Cina di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 FEBRUARI 2020

Katanya, sepanjang Op Selamat, sebanyak 23,208 kes kemalangan dilaporkan dan jumlah itu meningkat kepada 2,379 kes atau 11% berbanding 20,829 kes pada Op Selamat 14, tahun lalu.

Jumlah kematian meningkat 230 kes atau enam peratus pada tahun ini berbanding tahun lalu sebanyak 216 kes.

“Jumlah kes kemalangan maut juga merekodkan peningkatan sebanyak sembilan kes iaitu 206 kes pada tahun ini berbanding 197 kes tahun lalu,” ujarnya.

Jumlah saman yang dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Op Selamat adalah sebanyak 399,998 saman.

Ditanya mengenai cadangan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan meningkatkan hukuman berat iaitu penjara seumur hidup terhadap pemandu mabuk yang membawa kematian nyawa, Mazlan berkata, polis mengalu-alukan tindakan keras terhadap pemandu dan penunggang mabuk.

“Tukar undang-undng supaya kita dapat menangani masalah ini. Pentingnya mewujudkan undang-undang lebih keras terlebih dulu.

“Itu (penjara seumur hidup) kita akan kaji sebab cadangan tersebut memerlukan perbincangan kerana ada pengkhususan dari segi perundangan dan sebagainya,” tegas beliau.

Dalam majlis itu, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Perak Tengah masing-masing diumumkan sebagai kontinjen dan daerah terbaik dalam Op Selamat 16/2020 Tahun Baru Cina. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.