Satu lagi berita palsu mengenai koronavirus yang ditularkan di media sosial.

KUALA LUMPUR- Kapal yang didakwa membawa kru dari Wuhan dan telah memasuki Melaka melalui Pelabuhan Kuala Linggi di Alor Gajah seperti yang ditularkan baru-baru ini hanya melakukan aktiviti sign-off lima orang anak kapalnya.

Aktiviti tersebut menurut Jabatan Laut Malaysia (JLM) telah dipantau oleh Pejabat Kesihatan Daerah.

JLM menjelaskan, kesemua anak kapal yang sign-off adalah terdiri daripada warga negara Greece dan Filipina dan bukannya dari Wuhan seperti yang didakwa oleh Facebook Geng ViRal MeLaKa.

“Jabatan Laut Malaysia (JLM) ingin menjelaskan bahawa JLM komited dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah/Negeri dan Pihak Berkuasa Kesihatan Pelabuhan untuk memantau anak kapal dari negara berisiko yang memasuki negara melalui laluan Terminal Penumpang Antarabangsa dan Pelabuhan.

“Saringan kesihatan ke atas anak kapal dari negara berisiko terutamanya negara China adalah merupakan aktiviti tetap bagi pencegahan dan kawalan kemasukan virus 2019-nCoV.

“Sehubungan dengan itu pihak JLM meminta semua lapisan masyarakat agar sentiasa berhati-hati dan tidak menularkan sebarang berita tidak benar yang boleh menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, seorang individu yang menggunakan nama Shahnol Sundana telah memuat naik satu kenyataan di laman sosial Facebook Geng ViRal MeLaKa kononnya krew kapal dari Wuhan telah memasuki Melaka melalui Pelabuhan Kuala Linggi di Alor Gajah, Melaka.- MalaysiaGazette