SC
Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Rangkaian tempatan bagi United Nations Global Compact, Compact Network Malaysia bersama Capital Markets Malaysia melancarkan Pusat Kecemerlangan Global Compact Network Malaysia bagi memacu pembangunan agenda kelestarian serta mempercepatkan proses korporat Malaysia dalam menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Capital Markets Malaysia merupakan sekutu Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), akan menyediakan sokongan strategik dan mencari dana bagi pusat kecemerlangan tersebut.

Ia merupakan sebahagian daripada usaha untuk meletakkan Malaysia sebagai pusat serantau bagi pelaburan lestari dan bertanggungjawab.

Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar berkata, SC komited membangunkan ekosistem pembiayaan dan pelaburan lestari di Malaysia.

“Kami akan terus menggalakkan inovasi dan kerjasama industri bagi memajukan agenda kelestarian kebangsaan.

“Kerjasama di antara Global Compact Network Malaysia dan Capital Markets Malaysia pastinya satu langkah ke hadapan dalam menggembleng dan menggerakkan sektor swasta dalam melaksanakan standard kelestarian yang diiktiraf global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pusat Kecemerlangan tersebut akan menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan pembangunan kapasiti dengan melatih syarikat-syarikat amalan terbaik kelestarian korporat serta mengadakan sesi latihan C-suite dalam melaporkan dan berhubungan dengan pelabur-pelabur institusi.

Pasaran modal Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memajukan agenda kelestarian negara.

Ini termasuk pembangunan Indeks FTSE4Good, pengenalan Rangka Kerja Laporan Kelestarian bagi syarikat-syarikat senaraian awam di Bursa Malaysia serta yang terbaharu Hala Tuju Pelaburan Lestari dan Bertanggung Jawab bagi Pasaran Modal Malaysia (Hala Tuju SRI) oleh SC. – MalaysiaGazette