Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini berkata satu lagi kes 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) berlaku di negara ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Nor Hisham Abdullah, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) melaporkan kes itu berlaku kepada seorang wanita warganegara Malaysia berumur 65 tahun.

“Kes baharu tersebut adalah seorang wanita warganegara Malaysia berumur 65 tahun yang merupakan ibu mertua kepada kes warganegara Malaysia yang dilaporkan pada 4 Februari yang lalu (iaitu kes ke-9).

“Beliau mempunyai beberapa penyakit kronik sedia ada seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, lumpuh separuh badan, seorang pesakit jantung yang menggunakan perentak jantung (pacemaker) serta pergerakan yang terhad,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia menjadikan kes jangkitan novel koronavirus di Malaysia kini menjadi 17 kes.

Nor Hisham berkata, mangsa mempunyai kontak langsung dengan menantunya yang dijangkiti semasa duduk semeja bagi beberapa jamuan makan sempena sambutan Tahun Baru Cina lalu.

Mangsa mula mengadu kurang sihat iaitu mengalami pening kepala, berpeluh dan tidak bermaya tetapi tiada demam pada 5 Februari lalu.

“Ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV yang dijalankan ke atasnya telah dilaporkan positif pada 8 Februari 2020, manakala bagi lain-lain ahli keluarganya adalah negatif.

“Beliau kini telah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Sungai Buloh dan berada dalam keadaan stabil. Aktiviti pengesanan kontak masih dijalankan dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata Nor Hisham lagi.

Sehingga hari ini sebanyak tujuh kes dalam kalangan kes Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan 2019-nCoV, lapan adalah kes dalam kalangan kontak rapat dan dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan.

Daripada jumlah tersebut, dua belas kes adalah warganegara China dan lima orang adalah warganegara Malaysia. -MalaysiaGazette