GOMBAK – Hati ibu mana yang tidak meruntun apabila anak yang menjadi tempat dia bergantung harapan tiba-tiba pergi secara mengejut, tanpa meninggalkan sebarang pesanan kecuali meminta putera tunggalnya dijaga dengan baik.
Ketika berkongsi luahan perasaan pilunya, ibu kepada pelawak terkenal Abam BoceyĀ diselubungi esak tangis kerana tidak menyangka sakit kepala serta demam yang dihidapinya sejak beberapa hari lalu berakhir dengan kematian.
“Makcik sedih, dia itulah harapan makcik, dialah penanggung makcik, makcik sakit kaki, operation sakit kaki beribu-ribu (Abam tanggung),” kata Sabariah Arshad ketika ditemui media di perkarangan Masjid Gombak Utara.
AbamĀ atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan meninggal dunia secara mengejut kira-kira pukul 7 pagi tadi. Allahyarham meninggalkan seorang balu dan anak lelaki berusia lapan tahun.
Menceritakan lebih lanjut, Sabariah memberitahu, anaknya mengalami sakit kepala pagi tadi dan meminta untuk makan ubat, namun arwah tidak sempat berbuat demikian sebaliknya berbaring dan menghembuskan nafas terakhir.
“Makcik gerak dia, golek dia, kenapa kau tak bangun Abam, kenapa tak nak bangun,” katanya disulami esak tangis mengimbau detik-detik terakhir bersama anaknya itu.
Beliau turut berkongsi rasa terkilan kerana hajat Abam untuk menikmati gulai lemak siput dan sambal sotong yang dimasaknya sendiri sepatutnya pada Sabtu lalu tidak kecapaian.
Arwahnya yang berusia 32 tahun itu, kata Sabariah, sering menasihatkannya supaya tidak lupa mengambbil ubat dan makan nasi untuk mengelakkan jatuh sakit
“Mati mengejut, pergi mengejut sungguh. Dua hari lepas dia pesan jaga anak dia elok-elok,” katanya.
Sabariah turut mengimbau gelagat anaknya yang sangat suka bergurau dan mengusiknya. Kehilangan Abam bagi ibu yang sangat dekat dengan anaknya itu sesuatu yang amat menyedihkan. – MalaysiaGazette