Kumpulan Drama Band membuat persembahan pada Anugerah Juara Lagu 34 di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 09 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – “Maafkan kami atas salah silap kami. Kepada yang tersinggung, ampunkan kami. Hanya jalan cerita kehidupan, yang kadangkala warnanya tidak kita gemar”.

Itu permohonan maaf vokalis Drama Band, Aepul Roza menerusi Instagram hari ini selepas menerima banyak kritikan ekoran persembahan di Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-34 malam tadi.

Jelasnya, ia merupakan sebuah jalan cerita kehidupan yang ingin dipamerkan dalam persembahannya.

Sewaktu mempersembahkan lagu Drama, band itu meniru dialog dalam rakaman audio didedahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya dalam kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor pada 8 Januari lalu.

Kemudian, muncul dua watak badut, seorang individu lelaki berpakaian korporat dan seorang lagi wanita yang berbaju kurung sambil membawa beberapa beg tangan berjalan di karpet merah.

Kedua-dua watak itu dipercayai menyerupai Najib dan Rosmah. Mereka diiringi beberapa watak badut lain di pentas.

Sambil berjalan, wanita tersebut bercakap: “Can I advise you something.”

Ungkapan itu sinonim dengan rakaman audio yang didedahkan SPRM sebelum itu.

Malah pada persembahan malam tadi, Drama Band juga mempersembahkan adegan lain seperti kontroversi membabitkan seorang peserta Dewi Remaja yang dilucutkan gelaran juaranya selepas berhibur di kelab malam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Television Networks, Johan Ishak pula mendakwa pihaknya tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai konsep yang ingin dipersembahkan.

“Ia adalah salah satu contoh apabila peserta finalis menghasilkan gimik melampau. Padahal sewaktu sesi latihan, tak ada pun konsep terbabit (politik),” katanya.

Menurutnya, Drama Band sewajarnya memaklumkan sekiranya mereka ingin tampil dengan elemen sensitif sedemikian.

“Sepatutnya mereka cakap dari segi mesej apa nak buat dengan konsep persembahan itu tapi tidak. Ini agak sensitif,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Derama band x patut utk minta maaf malah beliau perlu terus memihak dan berjuang demi maslahat rakyat .

Comments are closed.