PUTRAJAYA – Peguam yang mewakili lima pemimpin NGO yang membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) disiasat bawah Akta Perhimpunan Aman.
Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, beliau pada mulanya menjangkakan lima tokoh itu dipanggil untuk siasatan kerana menyerahkan memorandum bantahan PPSMI kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun, katanya, apabila sampai di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya petang ini, mereka diberitahu oleh pengawai pe nyiasat bahawa siasatan dilakukan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman.
Lima pemimpin itu ialah Mohd Zaid Mustafa, Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan, Mohamed Saleeh Rahamad, Kamal Shukri Abdullah dan Wan Ramli Wan Daud yang masing-masing mewakili NGO Gerakan Pembela Ummah, Persatuan Linguistik, Gapena, Pena dan Asasi.
“Saya terkejut apabila siasatan ini dibuka bawah Akta Perhimpunan Aman iaitu berkaitan dengan suatu perhimpunan.
“Yang dipanggil hari ini tidak ada kaitan langsung dengan kandungan memorandum bantahan PPSMI, tapi lebih kepada apa yang berlaku antara selepas solat Jumaat dari Masjid Putrajaya ke pondok pengawal Pejabat Perdana Menteri.
“Kejadian itu berlaku sekitar 10 minit, iaitu apabila tokoh NGO ini bersama penyokongnya bergerak berjalan kaki untuk menyerahkan memorandum itu.
“Kami dipanggil dan siasatan dibuat hanya dari sudut itu, bukan kerana kandungan memorandum itu. Dengan kata lain, pergerakan (jalan kaki) itu yang disiasat,” katanya kepada media selepas mewakili lima tokoh NGO itu memberi keterangan di IPD Putrajaya di sini, hari ini.
Katanya, disebabkan seksyen itu beliau berasa agak pelik kalaulah ia dianggap satu kesalahan.
Mohd Khairul Azam berkata, jika kerana itu ada pendakwaan, maka mahkamah nanti akan penuh dengan kes sebegitu.
“Selepas ini NGO hendak hantar surat atau memorandum kepada Perdana Menteri atau menteri akan terikat dengan undang-undang berkenaan.
“Pada saya perkara ini mungkin berlebih-lebihan, tetapi polis hanya menjalankan tugas, mungkin ada pihak tertentu yang buat laporan.
“Lagipun peristiwa berjalan kaki dari masjid ke pondok pengawal Pejabat Perdana Menteri itu tidak berlaku apa-apa rusuhan atau kacau bilau. Ia satu pemandangan biasa, bukan luar biasa di Putrajaya,” katanya.
Beliau bagaimanapun, memberitahu, mereka memberi kerjasama penuh kepada polis dan berharap pihak berkuasa dalam mematuhi arahan untuk menyiasat hendaklah juga mematuhi kebebasan berhimpun dan bersuara rakyat Malaysia.
“Semua ini dari NGO yang sah berdaftar dan terdiri dari tokoh disegani masyarakat. Mereka bukanlah pengacau bilau, bukan orang yang terkenal mengganggu gugat keselamatan negara.
“Jadi tak seharusnya mereka yang ingin menyuarakan ditekan begini. Harap undang-undang itu dilaksanakan dengan adil dan saksama,” katanya. – MalaysiaGazette