Pengarah Jabatan KDNKA Bukit Aman, Komisoner Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Satu sindiket pengedaran rokok seludup yang bergiat aktif di Semenanjung tumpas apabila polis merampas rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM2.7 juta dalam satu operasi di Kajang, Selangor pada Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Komisioner Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, operasi itu dilaksanakan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas (PGK) Jabatan KDNKA Bukit Aman berdasarkan maklumat orang awam.

“Operasi tersebut telah berjaya menahan dua orang lelaki warga tempatan berumur 30 dan 54 tahun untuk siasatan lanjut disyaki sebahagian anggota sindiket tersebut.

“Hasil pemeriksaan sejumlah 17,000 karton rokok seludup pelbagai jenama telah dirampas dengan nilainya RM2,788,000.

“Turut dirampas tiga buah kenderaan iaitu dua buah lori jenis Nissan UD, Hicom Perkasa serta sebuah van jenis Toyota Hiace dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2,923,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kedua-dua suspek telah ditahan reman di Ibu Pejabat Daerah Kajang selama lima hari mulai 11 hingga 15 Februari 2020 di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 7(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-MalaysiaGazette