Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bercakap pada sidang media berkenaan perkembangan terkini Novel Koronavirus (2019-nCoV) di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 11 FEBRUARI 2020.

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak ada keperluan untuk memanjangkan tempoh inkubasi selama 14 hari kepada 24 hari untuk pesakit koronavirus seperti yang diperoleh dalam data penyelidikan di China.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, beliau mendapatkan input daripada pakar perubatan dan kesihatan Malaysia yang mendapati penetapan tempoh inkubasi selama 24 hari untuk pesakit Koronavirus akan membawa pelbagai implikasi.

“Ia perkara yang sukar untuk dilaksanakan pada masa ini,” katanya dalam sidang harian status jangkitan koronavirus di Malaysia hari ini.

Tambah beliau, pelbagai penyelidikan sedang dilakukan oleh penyelidik tempatan dalam kes berkenaan dan hasilnya akan dibentangkan.

“Untuk hari ini kami mengambil sikap semuanya adalah bersifat sementara sehingga kami dapat pengesahan dari pihak pakar-pakar kami sendiri dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Sementara itu harap izinkan semua pakar kami menjalankan kegiatan penyelidikan tanpa ambil sikap terlalu tegas dan keras dalam isu ini tapi kami perlu bersikap secara terbuka dengan pendirian kami sendiri,” katanya.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, tiada kes baharu dilaporkan pada hari ini, dan jumlah kumulatif kes koronavirus kekal sebanyak 18 kes.

Secara pecahan, katanya, lapan kes dalam kalangan kes Pesakit Bawah Siasatan (Patient Under Investigation (PUI) jangkitan koronavirus, lapan kes dalam kalangan kontak rapat dan dua lagi kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan.

“Daripada jumlah itu, 12 kes adalah warga negara China, enam warga Malaysia manakala daripada 12 kes positif dalam kalangan warga China tiga kes telah dibenarkan pulang dari wad setelah sembuh sepenuhnya,” katanya. – MalaysiaGazette