KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tidak sepatutnya bersikap rasis dan cuba merosakkan minda masyarakat bukan Islam terhadap agama Islam kerana negara ini telah terbentuk dengan kerukunan dan keharmonian dalam acuan ‘1 Malaysia’.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad berkata, sebagai seorang yang memegang portfolio penting dalam kerajaan, Guan Eng tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti itu.
Malah tambah beliau, Menteri Kewangan itu juga tidak sepatutnya mempercayai cerita tidak benar mengenai Pakatan Nasional yang tidak tahu hujung pangkalnya.
“Wanita UMNO Malaysia membidas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang seakan-akan cuba menakut-nakutkan rakyat Malaysia berkaitan kerjasama UMNO dan Pas,” katanya dalam kenyataan.
Pada Isnin lalu, Guan Eng berkata, gabungan Pas dan Barisan Nasional (BN) menerusi Pakatan Nasional dikatakan akan menerajui kerajaan Persekutuan baharu yang didominasi orang Islam dan menimbulkan permusuhan terbuka dengan orang bukan Islam.
Tambah Menteri Kewangan itu, ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan institusi demokrasi.
Guan Eng berkata, bahaya itu dapat dilihat dengan jelas berikutan pengisytiharan tegas daripada pemimpin Pas bahawa mereka tidak mahu orang bukan Islam sebagai Menteri Kabinet terutama bagi jawatan utama seperti di Kementerian Kewangan, walaupun tiada larangan seperti itu dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Noraini, kenyataan Guan Eng itu dilihat boleh mengelirukan rakyat dan secara tidak langsung boleh menimbulkan salah faham terhadap masyarakat bukan Islam kepada Islam.
Ujarnya, Guan Eng patut sedar dan menerima hakikat bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan selama lebih 60 tahun negara ini dipimpin oleh orang Islam dan tidak pernah sekalipun agama dan bangsa lain dipinggirkan.
“Kerana itulah Malaysia memberi cuti khas mengikut perayaan setiap bangsa malah turut memberi cuti sempena hari Thaipusam,” jelasnya.
Berikutan itu, Ketua Wanita UMNO itu menuntut Guan Eng memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana telah mengeluarkan kenyataan yang boleh dianggap sebagai keterlaluan itu. – MalaysiaGazette
Sikap LGE ni lebih merbahaya dari corona virus.