Jofri Jaraiee

KUALA LUMPUR – Pas Sarawak menggesa agar bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Dr Ting Tiong Choon dilucutkan kewarganegaraannya mengikut peruntukann (1) Perkara 24.

Pesuruhjayanya, Jofri Jaraiee menegaskan, perkara yang berlaku oleh bekas wakil rakyat dari parti DAP itu jelas tidak bertanggungjawab apabila menipu rakyat di DUN Pujut dengan menyembunyikan kerakyatan yang dimiliknya itu.

Katanya, Pas turut mendesak agar kerajaan negeri menilai kedudukan semula elaun dan peruntukan yang telah diambil oleh Dr Ting selama tempoh beliau menjadi ADUN.

“Pas Sarawak juga menyeru pihak berkuasa mengkaji semula mana-mana wakil rakyat di negara ini yang mempunyai dua kerakyatan supaya mereka boleh mengambil tindakan.

“Semua pihak yang mempunyai maklumat mengenai mana-mana wakil rakyat yang memiliki dua kewarganegaraan boleh menyuarakan kebimbangan mereka kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam pada itu, Jofri menyatakan, Pas Sarawak tanpa prejudis menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan, yang mana badan perundangan Sarawak mempunyai kuasa untuk menyingkirkan Dr Ting Tiong Choon sebagai ADUN Pujut.

Ujarnya, keputusan itu harus diingat bahawa orang yang tinggal di Sarawak harus mematuhi undang-undang dan tidak bermain dengan hak kewarganegaraan mereka.

“Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana warga negara telah memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan melalui pendaftaran, penaturalisasian atau perbuatan sukarela dan formal yang lain (selain perkahwinan), maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu,” tambah beliau.

Semalam, Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa DUN Sarawak membuat keputusan betul dalam melucutkan kelayakan Dr Ting sebagai ADUN Pujut berhubung statusnya memiliki dua kewarganegaraan.

Ia membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 7-2, dan memetik Perkara 19 Perlembagaan Sarawak dan Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan bahawa DUN mempunyai kata putus dalam perkara seumpama itu dan prosiding DUN tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah. – MalaysiaGazette

ADUN DAP hilang kerusi Pujut