KUALA LUMPUR – Pas mengingatkan semua pihak agar tidak mudah diperalatkan sama ada melalui media, ekonomi dan politik dalam membantu kempen perang Israel dan sekutunya melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, agamawan dan ilmuwan yang lemah dalam iktibar sejarah ditambah pula dengan tekanan politik antara golongan yang dikhuatiri mudah dipergunakan untuk membantu tentera Zionis.
“Jangan ada dalam kalangan kita diperalatkan untuk membantu Israel dan bala tentera Ahzabnya, khususnya kalangan agamawan dan ilmuwan yang lemah dalam iktibar sejarah dan sepak terajang politik terkini.
“Kini, sekatan dilakukan terhadap Zionis Israel dan bala tentera Ahzab yang menentang kebangkitan Islam dengan pelbagai pendekatan dalam segala aspek, bukan sahaja kekerasan, malah termasuk cara halus melalui media, ekonomi, politik, dan lain-lain,” katanya dalam satu catatan terbaru di akaun Facebooknya, hari ini.
Abdul Hadi berkata, umat Islam digesa memanfaatkan peranan media dalam semua lapangan dan ia boleh menjadi musuh untuk menentang kekejaman Israel.
“Kini, kita menyaksikan kumpulan Islam Hamas dinafikan kemenangannya di Palestin secara demokrasi, namun tidak dibenarkan untuk memimpin Kerajaan Palestin kerana Islamnya dan terpaksa bertahan di Gaza.
“Tiba-tiba, Gaza yang kerdil itu dikepung pula dalam segala aspek politik dan ekonomi, sehingga serangan Zionis yang dibantu oleh bala tentera Ahzab dari Amerika Syarikat dan negara Eropah dalam masa ratusan hari.
“Banyak negara bersimpati dengan Zionis Israel mengikuti gendang dan iramanya, bermula dengan propaganda Islamofobia sehinggalah bersatu membelasah Gaza dengan sekatan politik, ekonomi, dan ketenteraan,” katanya.
Beliau berkata, kumpulan Islam Ahli Kiblat daripada semua mazhab yang memahami Islam seperti Hizbullah, Ansarullah, Tanzim Jihad, Ibadi Oman, dan Kerajaan Islam Syiah Iran kini bersatu bersama Hamas dengan menyatakan sokongan terbuka.
“Melainkan kalangan Islam yang memisahkan antara kiblat ibadatnya ke Makkah dengan kiblat politiknya ke Amerika Syarikat dan Eropah,” katanya.
Menurut Abdul Hadi, Hamas dan semua kumpulan Islam yang berperang mengikut adab Islam tidak melampau, hanya menyerang sasaran ketenteraan.
“Berbeza dengan tentera Zionis Israel yang kuat bersama bantuan pasukan Ahzab daripada Amerika Syarikat dan Eropah menyerang dengan cara yang paling melampau.
“Bukan sahaja berperang, malah membunuh dengan cara paling melampau terhadap mereka yang tidak terlibat dengan peperangan seperti warga tua, kanak-kanak dan para pesakit di hospital, rumah ibadat, sekolah dan khemah penempatan.
“Bahkan para sukarelawan daripada semua bangsa dan agama sehinggalah tanah perkuburan; semuanya menjadi mangsa serangan,” katanya.
Selain itu, Abdul Hadi berkata, kesan pemulauan ekonomi khususnya terhadap barangan Israel dan negara sekutunya berlaku secara automatik atas sifat kemanusiaan.
“Sangat malang dan ketinggalan bagi mereka yang mahu menganjurkan seminar kerana kejutan perkara yang berlaku dan lebih malang kalau diseret oleh perasaan simpati terhadap Zionis dan sekutunya.
“Zionis Israel kini dalam keadaan gelabah kekalahan politik, ekonomi, dan ketenteraan. Sebenarnya, keadaan mereka sangat lemah,” katanya.
Katanya lagi, umat Islam berkewajiban secara fardhu ain bagi menentang kekejaman Zionis dalam segala aspek termasuk pemulauan barangan Israel dan penyokong mereka.
“Kebanyakan sumber ekonomi berada di laluan negara Islam dari Asia Tenggara, Asia Barat, dan Afrika Utara sehinggalah Asia Tengah yang semuanya ialah wilayah Islam, termasuk umat Islam menjadi pasaran yang besar.
“Hanya sedikit sekatan di Laut Merah oleh Yaman sudah menggelabahkan seluruh penyokong Israel.
“Pada masa sama, sokongan ekonomi dan kewangan kepada Palestin adalah sangat wajib dan penting dalam aspek perang ekonomi yang juga diwajibkan dengan janji fadhilat yang paling besar dan berganda,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















