Timbalan Presiden MCA, Datuk Mah Hang Soon (kanan) menyerahkan topeng penutup hidung dan mulut kepada orang awam selepas Majlis A Mask Is A Must sempena kempen penyerahan topeng penutup hidung dan mulut berikutan wabak Koronavirus di Wisma MCA, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 12 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – MCA bertanya di mana stok penutup mulut dan hidung yang didakwa dikeluarkan dengan tambahan sebanyak 400,000 keping sehari seperti yang didakwa kerajaan sebelum ini.

Persoalan itu timbul kerana bekalan alat perlindungan itu masih tidak mencukupi dipasaran.

Timbalan Presidennya Datuk Mah Hang Soon berkata, situasi semasa jangkitan dan penularan Covid 19) adalah serius tetapi rakyat sukar mendapatkan bekalan penutup hidung dan mulut.

“Kerajaan kata akan ada pengeluaran tambahan 400,000 helai sehari, jadi apa berlaku kepadanya dan mana stok tersebut, boleh tak pihak berkuasa memberitahu rakyat,” katanya pada sidang media di sini.

Menurutnya, MCA menerima lambakan aduan daripada orang awam di seluruh negara yang gagal mendapatkan penutup mulut dan hidung.

“Ada juga rakan-rakan dan orang awam termasuk juga pegawai-pegawai kesihatan klinik kesihatan dan di hospital khususnya di Ipoh, mengadu kecewa kerana kesukaran mendapatkan penutup mulut dan hidung.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang bertanggungjawab secara langsung dalam perkara ini gagal memberi data tepat tentang stok tersebut,” ujarnya lagi.

Disebabkan itu, ada komen-komen orang awam yang mahu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meletakkan jawatan sekiranya gagal menangani isu ini dengan kadar segera.

Terdahulu, Mah mengagihkan sejumlah 5,000 helai topeng muka yang berjaya diperolehi MCA kepada orang ramai dalam program tanggungjawab sosial korporat parti itu dalam memberi kesedaran kepada orang awam tentang pentingnya mengambil langkah awal semasa krisis jangkitan Covid-19 di negara ini.

Ditanya perkara yang mungkin menjadi punca kekurangan bekalan topeng muka di negara ini, Mah enggan membuat sebarang spekulasi.

“KPDNHEP setidak-tidaknya memastikan bekalan itu sampai kepada golongan sasaran tanpa ada masalah atau ketirisan dan perlu telus maklumkan rakyat rantaian bekalan stok supaya rakyat tidak panik mendapatkan bekalan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast