SEPANG – Kekurangan bekalan penutup mulut dan hidung di pasaran tempatan masih belum ditangani meskipun ia menjadi rungutan orang ramai sejak beberapa minggu lalu.

Sama ada di farmasi, pasar raya atau kedai-kedai runcit, penutup hidung dan mulut itu sangat sukar didapati sekarang.

Malah kebanyakan premis-premis meletakkan notis kehabisan stok di luar kedai bagi memaklumkan kepada orang ramai.

Masalah kekurangan bekalan alat perlindungan diri itu turut berlaku di klia2 yang menjadi pintu masuk utama negara hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di kedai-kedai runcit dan farmasi di klia2 mendapati tiada satu pun premis menjual penutup hidung dan mulut itu.

Rata-rata kedai memaklumkan bekalan sudah habis kerana stok yang diperoleh daripada pembekal terhad.

Seorang juruwang farmasi memberitahu, penutup mulut dan hidung itu menjadi barangan paling laris sejak penularan wabak Covid-19.

“Setiap minit pasti ada pengunjung masuk (kedai) dan bertanya dan selalunya stok tidak ada. Macam minggu ini kami dapat bekalan terhad walaupun tambahan bekalan telah dibuat.

“Apabila kami letak di kaunter, sekejap saja habis dalam tempoh singkat,” katanya.

Seorang lagi pembantu kedai runcit memaklumkan, walaupun permintaan bagi penutup mulut dan hidung itu tinggi tapi bekalan yang diperoleh sangat terhad berbanding sebelum penularan wabak Covid-19.

“Dulu pembekal menghantar antara 20 hingga 30 kotak tetapi sekarang 20 kotak sahaja. Pembekal juga memaklumkan bekalan yang ada sangat terhad,” ujarnya.

Kekurangan bekalan penutup mulut itu telah menimbulkan persoalan ramai memandangkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah memaklumkan bahawa pengeluaran penutup mulut dan hidung itu akan ditambah kepada 400,000 sehari.

Kalau pun bekalan itu sukar diperoleh di tempat-tempat lain tetapi pertimbangan serius perlu diberikan di lokasi-lokasii berisiko seperti di lapangan terbang yang menjadi tumpuan orang ramai.

Kakitangan klia2 memaklumkan jumlah pengunjung lapangan terbang itu yang menggunakan alat perlindungan tersebut meningkat berbanding sebelum ini.

Katanya, langkah berjaga-jaga oleh para penumpang adalah baik kerana terminal tersebut menjadi tumpuan jutaan orang.

Namun, masalahnya bekalan alat itu di terminal berkenaan amat terhad.

“Kalau di sini memang susah dapat berbanding sebelum wabak koronavirus. Untungnya kami pekerja terminal syarikat ada menyediakan penutup mulut dan hidung.

“Kalau tidak memang payah jugak,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast