Saksi yang juga bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad hadir pada perbicaraan kes rasuah projek sistem solar sekolah luar bandar Sarawak melibatkan Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor menunjukkan minatnya secara langsung terhadap projek solar di Sarawak, kata saksi keenam pendakwaan.

Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad berkata, penglibatan isteri bekas perdana menteri itu menjadi tanda tanya apabila Rosmah sendiri memintanya mempercepatkan projek tersebut untuk dilaksanakan oleh Jepak Holdings.

Memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, Rosmah didakwa membuat permintaan itu ketika menghadiri majlis Permata yang turut dihadiri Madinah selaku Ahli Lembaga Yayasan Permata.

“Insiden luar biasa tersebut berlaku selepas tamatnya majlis Permata yang diadakan di kediaman rasmi Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana Putrajaya.

“Selepas Datin Seri Rosmah masuk ke dalam keretanya, beliau menurunkan tingkap kereta dan memanggil saya dengan cara melambai ke arah saya. Apabila saya menghampiri beliau, beliau memberitahu saya lebih kurang “You tengok sikit projek solar Jepak. Cepatkanlah sikit.”

“Selepas Datin (Rosmah) beredar saya berasa terkejut dan tertanya sebentar kenapa beliau berminat dengan permohonan projek tersebut. Saya juga terfikir apakah kaitan dan kepentingan Datin Seri Rosmah berhubung permohonan projek tersebut,” katanya kepada Mahkamah Tinggi hari ini ketika membaca keterangan bertulisnya.

Menyifatkan insiden itu sebagai luar biasa, malah ia juga merupakan kali pertama Rosmah meminta bantuan berkenaan projek kerajaan daripadanya secara langsung.

Sebelum ini, katanya, apa juga yang disuarakan oleh Rosmah adalah mengenai Permata sahaja.

“Beliau tidak pernah membuat apa-apa permintaan sebegitu kepada saya berkenaan projek kerajaan sebelum ini. Datin Seri Rosmah pernah meminta bantuan saya sebagai KSU Kementerian Pendidikan untuk membekalkan tenaga pengajar dan menyelesaikan urusan gaji guru-guru untuk program Permata sahaja yang selalunya disalurkan melalui pegawai khas beliau untuk program Permata atau beliau sendiri suarakan dalam mesyuarat Permata.

“Projek solar hibrid merupakan satu-satunya projek kerajaan yang mana Datin Seri Rosmah sendiri menunjukkan minat dan kepentingannya kepada saya dengan meminta saya “tengok” dan “cepatkan sikit”,” katanya lagi.

Bagaimanapun Madinah menegaskan tidak mengabaikan peraturan yang perlu dipatuhinya sebagai KSU Kementerian Pendidikan pada waktu itu meskipun sedar wujud sence of urgency selepas Rosmah sendiri membuat permintaan daripadanya.

“Walaupun permintaan Rosmah telah mewujudkan sense urgency namun itu tidak menyebabkan saya ambil tindakan susulan yang mengabaikan segala peraturan berkuatkuasa ketika itu melalui perolehan kerajaan,” ujarnya.

Selepas kejadian yang disifatkannya sebagai luar biasa itu, Madinah turut mendedahkan menerima desakan menerusi pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor, rakan kongsi pemilik Jepak Holdings, Rayyan Radzwill Abdullah yang sering menghubunginya menerusi aplikasi Whatsapp dan panggilan telefon untuk menyegerakan penganugerahan projek mega itu kepada syarikat tersebut.

Menerusi cara kedua-dua individu itu menghubunginya, bertanyakan tentang status terkini projek itu, Madinah membuat kesimpulan yang Rizal dan Rayyan bekerjasama untuk memberi tekanan terhadapnya.

“Tidak berapa lama selepas itu, saya mendapat desakan daripada pelbagai penjuru untuk menyegerakan perolehan projek solar hibrid Jepak,” tambahnya.-MalaysiaGazette