Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bercakap kepada media semasa melawat bangunan kondominium yang sedang dalam pembinaan runtuh di Taman Desa Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 14 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Jabatan keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) akan menjalankan siasatan berhubung sebahagian struktur kondomunium yang sedang dalam pembinaan di Taman Desa, Jalan Klang Lama di sini runtuh pada petang tadi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kerja-kerja pembinaann di tapak projek Kondominium The Address 2 akan dihentikan berkuatkuasa serta merta sementara menunggu siasatan kejadian itu.

Katanya, hasil siasatan dan laporan penuh DOSH dijangkakan siap dalam masa sebulan.

“Esok saya akan merujuk insiden ini kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan Jabatan Perumahan Negara di bawah kementeriannya.

“DOSH juga telah melawat lokasi dan mengambil bukti-bukti awal yang boleh membantu memulakan siasatan terhadap kejadian hari ini,” katanya kepada pemberita di lokasi insiden itu malam ini.

Beliau tiba ke lokasi kejadian pada pukul 8.35 malam diberi taklimat mengenai insiden itu dan misi menyemalatkan mangsa oleh Pengarah Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Datuk Nordin Pauzi.

Pada insiden pukul 3.30 petang itu, sebahagian daripada bangunan yang merupakan tempat letak kereta enam tingkat yang dalam pembinaan runtuh.

Zuraida berkata, tindakan yang akan diambil bergantung kepada laporan yang disediakan.

“Esok saya akan koordinasi dengan Menteri Wilayah untuk lihat punca kejadian dan proses serta spesifikasi yang betul sama ada dipatuhi oleh pemaju di tapak pembinaan berkenaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast