Syed Ali Mubarak atau lebih dikenali Ali Puteh.

GOMBAK – Penghormatan terakhir yang dibuat ribuan umat Islam kepada pelakon dan pelawak popular, Allahyarham Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan atau Abam di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak membuatkan adiknya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan sebak.

Menurut ahli kumpulan pelawak Puteh itu, beliau sebenarnya kaget dengan kehadiran ramai orang semasa proses pengkebumian Abam pada Isnin lalu.

“Sewaktu menguruskan jenazah dia saya tengok amat luar biasa apabila orang yang kita tidak kenal sanggup pergi ke masjid untuk tunggu jenazah dia tiba.

“Saya sampai di masjid sudah ramai yang ada dan ramai yang kata saya boleh rehat sekejap. Saya tidak kenal siapa di belakang depan, kiri dan kanan saya, mereka nak saya rehat dan mereka boleh uruskan.

“Manusia yang cuba mengusung jenazah Abam ke bilik mandi jemaah itu boleh dikatakan semuanya saya tidak kenal tapi jenazah cuba diangkat lebih 60 orang yang datang. Malah ada yang sempat pegang hujung tandu sahaja,” katanya dalam nada sebak.

Situasi lebih memilukan apabila jenazah Abam turut disolatkan oleh golongan agamawan yang berada di saf pertama.

“Bila jenazah dibawa masuk, baris pertama dan kedua itu dipenuhi oleh ahli-ahli agama, imam dan ustaz yang popular dalam negara,” kata Ali.

Beliau berkata dirinya turut berterima kasih dengan semua yang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada arwah abangnya itu.

Reaksi Achey Bocey selepas selesai pengkebumian Allahyarham Abam Bocey atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, Nor Hidayah Mohd Ali di Tanah Perkuburan Jalan Sungai Pusu Gombak, Selangor. foto IQBAL BASRI, 10 FEBRUARI 2020

Dalam pada itu, Ali berkata, Abam tidak suka menghebohkan apa juga amalan dan sumbangan yang diberikan kepada mana-mana individu.

Menceritakan perihal keperibadian Abam, Ali berkata, arwah tidak lokek untuk membuat sedekah jariah yang dikatakan tidak mampu untuk dibuat oleh sesiapa pun termasuklah dirinya.

“Pernah kami duduk makan di kedai mamak, penuh dengan orang. Dia boleh bayarkan semua makanan yang orang lain makan, dia tidak kira siapa, dia bayar semua. Bukan sekali tapi banyak kali. Itu adalah contoh yang kita tidak mungkin buat, bukan masalah dia banyak duit atau tidak.

“Sebelum dia meninggal, ada dia buang tabiat sikit apabila dia telefon kawan-kawan dia ajak makan di kedai mamak, buka sampai lapan meja,” katanya lagi.

Menurut Ali, peristiwa itu berlaku pada 19 Januari semasa sambutan hari lahir Abam yang ke 32.

Kemurnian hati Abam juga terserlah apabila Ali diberitahu  abangnya juga turut menaja perjalanan seorang penceramah bebas untuk menyampaikan ceramah dan kuliah di Pahang.

“Ada seorang ustaz ni, Abam taja perjalanan dia untuk pergi ceramah dan beri kuliah kepada umat Islam di sekitar Pahang.

“Semua perbelanjaan ustaz itu ditanggung oleh arwah abang saya. Dia tidak belanja orang pergi bercuti tapi tanggung orang buat ceramah dan kuliah,” katanya lagi.

Abam meninggal dunia di kediamannya di Gombak, kira-kira jam 7 pagi Isnin selepas demam panas selama dua hari. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast