Najib Razak

KUALA LUMPUR – Harga arang baru telah jatuh sebanyak 50% manakala harga gas asli (LNG) pula menyusut 75% sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) – paras terendah dalam sejarah.

Bagaimanapun, tarif elektrik dan gas komersial telah dinaikkan beberapa kali oleh kerajaan sejak PRU14.

Datuk Seri Najib Razak berkata, semasa pemerintahan Barisan Nasional dulu, beliau akan menurunkan harga elektrik apabila ada penurunan harga bahan api penjanaan elektrik yang ketara seperti yang berlaku pada awal tahun 2015.

Tetapi, sekarang, katanya, penurunan kedua-dua bahan api begitu ketara tapi kerajaan buat-buat tak nampak.

Menurutnya, pada bulan Mac 2019 lalu, pengilang pernah menuntut kerajaan menurunkan tarif elektrik dan gas apabila harga LNG Jepun/Korea telah turun 60 peratus kepada AS$4.62 satu juta unit thermal British (MMBtu) daripada
AS$11.81 MMBtu pada September 2018.

“Ketika itu, pengilang berkata, kerajaan perlu adil untuk turunkan tarif elektrik dan gas kerana Singapura pun sudah turunkan kadar mereka.

“Lalu, PM ke-7 suruh pengilang beli gas dari Singapura jika tak puas hati kerana kerajaan PH tak akan turunkan harga elektrik dan gas,” katanya.

Hari ini, tambah Najib, harga LNG turun lagi ke AS$2.50 satu MMBtu berbanding harga AS$4.62 pada tahun lalu dan harga AS$11.81 MMBtu pada September 2018, semasa kerajaan asyik naikkan kadar elektrik dan tarif gas komersial.

Soalnya, adakah kerajaan akan terus membebankan rakyat  sedangkan, kerajaan sedar mereka sedang mengaut keuntungan lebih daripada tarif elektrik tinggi.

Sebab itu, ujar Najib, Menteri Kewangan telah mengenakan cukai tambahan sebanyak RM3.98 bilion ke atas TNB pada akhir tahun lalu. – MalaysiaGazette