Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor
Ezam Mohd Nor

SUNGAI BULOH – Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor mendedahkan beliau keluar daripada PKR pada 2007 kerana tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang terlalu memberi ruang kepada Datuk Mohamed Azmin Ali untuk menentang Dr Syed Husin Ali.

Menurut beliau, ketika itu merupakan pemilihan pertama PKR.

Ezam berkata, beliau marah kerana Azmin diberi laluan untuk mencabar tokoh pertama yang mengasaskan parti pelbagai kaum itu.

“Memang saya tinggalkan (PKR) kerana mamat itu (Azmin), tapi saya marah kepada Anwar, sebab beliau bagi ruang kepada Azmin untuk menentang Dr Syed Husin bagi jawatan Timbalan Presiden.

“Itu pertandingan PKR yang pertama, setelah ada (persetujuan) antara PKR dengan PKM (Parti Rakyat Malaysia) jadi Syed Husin tokoh lama sanggup tinggal dan bubarkan parti dia dan masuk jadi Timbalan Presiden PKR.

“Bila kita mesyuarat pemilihan pertama, untuk sahkan Timbalan Presiden, kita lawan dia. Azmin lawan hingga saat akhir, dia tarik diri, tapi masa itu saya sudah tinggalkan PKR,” katanya pada program Kupasan Politik Semasa anjuran Gerakan Reformasi Perform, di sini, hari ini.

Ketika itu juga, Ezam menyifatkan langkah Anwar sebagai satu penghinaan kepada pengorbanan Syed Husin yang menubuhkan parti tersebut.

“Syed Husin pejuang lama, presiden PRM, tinggalkan parti masuk parti kita, dia bukan minta (jawatan) Presiden pun.

“Masa mesyuarat PKR Permatang Pauh mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden, tapi Timbalan dikosongkan.

“Bagi saya ini penghinaan kepada Syed Husin, mengapa dikosongkan sebab nak jagi hati Azmin. Itu saya marah,” luahnya.

Beliau turut membidas sikap Azmin yang mengamalkan cara politik elit dan bangsawan seperti yang dilakukan oleh pemimpin Barisan Nasional (BN).

“Bila dalam reformasi kita ingat dia sudah berubah dan bila jadi Menteri Besar Selangor saya nampak tanda-tanda.

“Selepas jadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, lagi nampak belang, dia kahwinkan anak dia dalam majlis mewah.

“Bila orang tegur buat majlis di Majestic Hotel, makin menjadi, dia buat di Mandarin Hotel. Apa ini? Pamer kemewahan, bercuti di Morocco bersama Hishammuddin, ambil kelas perniagaan,” ujar beliau.

Lebih memualkan apabila Timbalan Presiden PKR itu sendiri katanya, menyokong Tun Dr Mahathir Mahathir secara terbuka supaya Perdana Menteri menghabiskan penggal dan bukannya mempercepatkan peralihan kuasa kepada Anwar.

“Tidak ada kenyataan daripada Azmin bahawa Anwar jadi Perdana Menteri, malah dia keluar kenyataan kata mandat penuh kepada Dr Mahathir sampai habis penggal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Dulu aku dengar ceramah kau .
    Kau hentam si Nuar tu kaw-kaw.
    Sekarang ni lain oulak cakap kau.
    Mana satu betul.bro..

Comments are closed.