Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hadir mempengerusikan Mesyuarat Khas High Level Committee berhubung isu penumpang kapal persiaran Westerdam dan Kluster Penyakit Novel Coronavirus (COVID-19) di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 16 FEBRUARI 2020

PUTRAJAYA- Kerajaan menghalang semua kapal persiaran yang berlepas atau transit di mana-mana pelabuhan di China daripada memasuki Malaysia.

Perkara tersebut diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail susulan satu kes positif Covid-19 telah dikesan ke atas penumpang kapal persiaran Westerdam semalam.

Jelasnya, hasil ujian pengesanan Covid-19 menunjukkan seorang penumpang wanita warga negara Amerika Syarikat berusia 83 tahun adalah positif kerana mempunyai gejala batuk tetapi tiada demam atau sesak nafas.

Dapatan x-ray yang dilakukan ke atasnya menunjukkan tanda-tanda radang paru-paru.

Wanita berkenaan menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Suami kepada wanita berkenaan yang juga warga Amerika Syarikat bagaimanapun didapati negatif Covid-19 selepas kedua-duanya menjalani ujian pengesanan sebanyak dua kali.

Menurut Wan Azizah, wanita tersebut dibawa menaiki pesawat MAS yang disewa khas oleh Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia dari Sihanoukville ke KLIA pada 14 Februari lalu.

Ia bagi membolehkan semua 1,455 penumpang kapal persiaran Westerdam yang terkandas di Sihanoukville itu dapat pulang ke destinasi masing-masing menerusi KLIA.

“Disebabkan para penumpang lain dalam pesawat berkenaan dianggap kontak rapat, susulan itu MAS membatalkan baki tiga penerbangan sewa khas untuk penumpang kapal Westerdam.

“Baki penumpang kapal persiaran berkenaan yang masih berada di Kemboja tidak dibenarkan lagi memasuki Malaysia dengan mengambil kira kesemua mereka adalah kontak rapat wanita berkenaan,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP).

Mesyuarat berkenaan dihadiri Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Malaysia Airlines (MAS).

Untuk rekod, pesawat MH8763 yang membawa 145 penumpang dari Sihanoukville itu mendarat di KLIA pada jam 7 petang, dua hari lalu.

MAS sepatutnya melakukan empat penerbangan sewa khas dari Sihanoukville ke KLIA bemula 14 Februari sehingga 16 Februari.

Kesemua penumpang pesawat berkenaan telah diarahkan untuk menjalani ujian pengesanan terlebih dahulu sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan ke destinasi akhir masing-masing.

Daripada jumlah tersebut, hanya enam penumpang sahaja yang masih menunggu penerbangan masing-masing dari negara ini.

Dengan itu, Wan Azizah telah mengarahkan kesemua enam penumpang tersebut untuk menjalani ujian pengesanan Covid-19 sekali lagi sebelum dibenarkan terbang.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan tiada kes baharu dilaporkan hari ini manakala terdapat satu kes melibatkan seorang wanita warga China yang telah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang.

Wanita tersebut telah menjalani rawatan di Hospital Permai, Johor Bahru.

Dengan itu, setakat ini seramai 14 pesakit Covid-19 masih dirawat manakala lapan telah dibenarkan pulang.

Bagi lapan kes yang telah dibenarkan pulang, kesemuanya telah menjalani ujian pengesanan ulangan Covid-19 sebanyak dua kali berturut-turut dan kekal negatif.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.