Dr Mike Ryan

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan ke China untuk memulakan siasatan wabak Covid-19 pada hujung minggu ini.

Organisasi itu akan memberi tumpuan bagaimana koronavirus baru itu tersebar dan sejauh mana bahayanya penyakit tersebut, kata Ketua Pengarah WHO.

Pasukan bersama terdiri daripada 24 anggota termasuk 12 daripada wakil antarabangsa akan mendapatkan lebih banyak maklumat bagaimana penyakit itu dijangkiti.

Setakat ini, lebih daripada 1,700 kakitangan kesihatan dijangkiti virus baru.

“Kami mengharapkan pasukan lengkap akan tiba akhir minggu ini,” kata Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Matlamat misi bersama adalah dengan cepat memaklumkan langkah-langkah seterusnya dalam tindak balas terhadap Covid-19 dan kesediaan menghadapinya di China dan seluruh dunia.

Perhatian khusus akan diberikan untuk memahami jangkitan virus, bahayanya dan kesan tindak balas tindak balas yang berterusan, katanya.

Dr Mike Ryan, Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Kesihatan WHO percaya pasukan pimpinan WHO akan memasukkan pegawai kesihatan Amerika Syarikat dalam misi tersebut kerana pakar teknikal Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) telah menyatakan minat untuk mengambil bahagian.

Ryan, ditanya mengenai Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan berlangsung pada bulan Julai ini berkata, WHO sentiasa berhubung dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan penganjur-penganjur lain.

“Kami tidak menawarkan nasihat kepada IOC untuk Sukan Olimpik, secara langusng atau tidak kerana bukan peranan WHO untuk membuat nasihat agar acara itu atau mana-mana acara dibatalkan,” kata Ryan.

Peranan WHO hanya menawarkan nasihat teknikal untuk membantu pihak penganjur melakukan penilaian risiko yang menyeluruh untuk acara yang bakal dijalankan, katanya.

Jepun telah menjadi salah satu negara yang paling banyak dijangkiti virus itu di luar China. – MalaysiaGazette