SALAM perkenalan Che Pah ucapkan buat semua. Rasanya inilah kali pertama Che Pah menulis semula selepas meninggalkan gelanggang penulisan lebih sepuluh tahun lalu.
Bagi yang belum mengenai Che Pah, Che Pah ini sebenarnya seorang wartawan. Che Pah lulusan jurusan Kewartawanan serta Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia(USM) Pulau Pinang.
Bila Che Pah graduasi jangan ditanya. Kira-kira kalau punya anak, mereka sekarang sudah berada di universiti. Jadi faham faham sendiri ya berapa umur Che Pah.
Minat menulis sebenarnya telah membenih dalam diri Che Pah sejak kecil lagi. Walid Che Pah sebenarnya berkerja sebagai penjual surat khabar di Muar Bandar Maharani Bandar DiRaja.
Kalau anak jati Muar, kami tak akan menyebut Muar dengan sebutan Muar sebaiknya Muo. Itu baru anak jati Muo. Muncung bibir masa nak menyebut. Begitu juga kalau nak menyebut surat khabar jadinya surat kabor.
Jadi sebagai anak penjual surat khabar, Che Pah hidup bergelumang dengan semua akhbar. Dari akhbar berbahasa Melayu seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian, surat khabar berbahasa Inggeris seperti New Straits Times dan The Star higgalah surat khabar berbahasa Cina seumpama Sin Chew Jit Poh, Nanyang Siang Pau dan Shin Min Daily News.
Surat khabar berbahasa Tamil saja yang kami tak jual. Yang lain habis kami jual. Janji jadi duit kata Walid.
Seronok tau jadi anak penjual surat khabar ni. Semua surat khabar Che Pah dapat baca. Dulu bukan ada Internet dan smart phone seperti sekarang. Maka akhbar jadi talian hayat terkini untuk masyarakat tahu berita yang berlaku di seluruh negara dan dunia.
Sekarang dah mudah. Maklumat di hujung jari. Tekan saja, habis satu dunia punya cerita keluar. Luar dalam kain habis diselak.
Masing masing nak jadi orang yang pertama melaporkan berita. Semua nak jadi wartawan segera macam mee Maggi. Susah payah orang macam Che Pah belajar empat tahun untuk jadi wartawan. Orang sekarang tak payah belajar bertahun tahun, tiba tiba jadi wartawan. Class kan.
Berbalik cerita tadi, cuma akhbar Cina sahaja yang Che Pah tak pandai nak baca. Jadi uncle berbangsa Cina yang juga kawan kawan baik Walid jadi mangsa.
Che Pah paksa mereka singgah sekejap di gerai Che Pah. Duduk sebelah Che Pah lantas Che Pah hulur akhbar Cina.
“Uncle tolong baca untuk saya boleh.. Saya tak pandai baca la Uncle tapi saya mau tau ini berita tentang apa,” ujar Che Pah kepada “mangsa” Che Pah.
Uncle ambil cermin mata. Pasang cermin mata dan mula membaca. Che Pah tenung muka Uncle. Rasa hendak tahu membuka buak di dada. Mulut Uncle terkumat kamit membaca.
Ada sebab kenapa Che Pah nak sangat tahu berita dalam akhbar Cina. Maklum, akhbar Cina ini berbeza dengan akhbar berbahasa Melayu.
Akhbar Cina bebas bermain dengan gambar yang dikasifikasi sebagai sensitif seperti gambar kemalangan, mayat yang dijumpai di dalam hutan atau mati kemalangan.
Itu yang membuat Che Pah hendak tahu. Bila Che Pah sudah berkerja sebagai wartawan, baru lah Che Pah tahu mengapa akhbar Melayu tidak diizin untuk memaparkan gambar yang sensitif.
Menurut mereka orang Melayu agak sensitif dengan gambar yang sebegitu. Mungkin orang Melayu mudah terkesan Che Pah rasa. Entahlah.
Bila Uncle tadi usai membaca maka sampai masa untuk dia bercerita pula pada Che Pah. Umpama penglipur lara dia bercerita dengan pelat Cinanya. Ahh.. Tak kira janji Che Pah faham cukup.
Waktu itu akhbar Utusan Melayu bertulisan Jawi juga masih ada. Syukur Alhamdulillah sebagai bangsa Johor kami pandai membaca tulisan Jawi.
Ini kerana kami di Johor diwajibkan bersekolah agama. Di sekolah agama di Johor, semua buku dalam tulisan Jawi. Nampaknya negeri Johor sudah lama mendahului dalam isu tulisan Jawi ini.
Bagi Che Pah bagus juga jika anak Melayu mahir dalam tulisan Jawi. Tiada ruginya walau tidak luas diguna dalam urusan seharian.
Itulah permulaan detik tumbuhnya benih penulisan dan kewartawanan dalam diri Che Pah. Kala belajar di tingkatan empat di Sekolah Tinggi Muar, Che Pah sudah menetapkan jurusan apa yang mahu diambil kala menjejak kaki ke institusi pengajian tinggi nanti.
Apa lagi kalau bukan jurusan kewartawanan. Tapi yang menghairankan sewaktu zaman kanak kanak Che Pah ni sangat pemalu orangnya. Kalau saudara mara datang, Che Pah dah lari dulu. Saudara yang datang baru ucap salam tapi Che Pah dah masuk celah bantal. Begitu pemalunya.
Namun minat mendalam sebagai wartawan mengubah segalanya. Che Pah jadi lebih terbuka, suka bercakap dan paling penting tidak pemalu lagi. Bayangkan jika masih pemalu. Alamat tak siaplah kerja.
Tugas sebagai wartawan membolehkan Che Pah bergaul dengan segenap lapisan masyarakat. Pendek kata pergaulan Che Pah dari Istana hingga ke rumah setinggan. Semua jadi kawan.
Itu istimewanya seorang wartawan. Kami tidak hadkan pergaulan. Misi kami satu iaitu untuk menghidangkan yang terkini buat masyarakat.
Cinta Che Pah pada bidang penulisan sangat mendalam. Umpama cinta Habibie dengan Ainun. Umpama kasih Mahathir dengan Hasmah. Tak boleh terpisah.
Penulisan sudah mendarah daging dalam diri Che Pah. Che Pah akui pernah berhenti menulis. Waktu itu Che Pah fokus kepada dunia perniagaan.
Namun semakin hari semakin mengidam hendak menulis. Umpama orang mengandung mengidam kan buah asam. Selagi tak dapat selagi itu tak senang duduk.
Apabila dapat menulis, leka jari jemari ini mengetuk papan kekunci lap top. Waktu itu jangan orang kacau. Jelingan tajamlah makannya nanti.
Waktu menulis Che Pah ibarat dalam sebuah dunia yang lain. Tak sedar apa yang berlaku di sekeliling. Allah sedang mencurahkan bait kata dalam minda. Lalu ia mengalir ke tangan yang lantas menggerakkan jari jemari. Itulah resmi Che Pah.
Insyaallah banyak kisah kehidupan, isu masyarakat serta pengalaman hidup bakal Che Pah tintakan dalam ruangan ini.
Tujuannya hanya satu. Che Pah mahu berkongsi dengan pembaca pengalaman hidup ini. Mana lah tahu penulisan Che Pah mungkin dapat mengimbau semula memori selain dapat memberi sedikit tunjuk ajar kepada generasi kini. – MalaysiaGazette