KUALA LUMPUR – Empat hotel Tabung Haji yang dipindah milik kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ) akan dikenali sebagai Raia Hotel mulai 1 April ini.

Hotel-hotel tersebut adalah TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Penang, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Terengganu yang sebelum ini diuruskan oleh TH Hotel and Residence Sdn Bhd (THHR).

“Operasi hotel di bawah pengurusan baharu ini akan beroperasi seperti sedia kala dan kekal sebagai hotel patuh syariah dengan nama baharu iaitu Raia Hotel mula 1 April 2020,” kata Lembaga Tabung Haji dalam kenyataan di sini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan berikutan laporan yang menyatakan THHR akan menutup empat hotel berkuatkuasa 1 April ini.

Keempat-empat hotel itu akan diteruskan di bawah syarikat milik penuh UJ iaitu UJ Property Management Sdn Bhd (UJPM).

Berikutan pertukaran pengurusan hotel-hotel tersebut, Lembaga Tabung Haji dan UJ berharap rakyat Malaysia akan memberikan sokongan kepada pengurusan baharu yang akan menjadi operator.

Ini kerana, menurut Tabung Haji, secara asasnya pihak UJ akan meningkatkan imej hotel-hotel tersebut dari segi penjenamaan semula, menaik taraf fasiliti dan mengoptimumkan tahap kecekapan.

UJPM akan diterajui oleh Muhammad Salleh Ramli yang berpengalaman luas dalam pengurusan perhotelan.

Beliau pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Proasset Management Sdn Bhd yang merupakan syarikat pengurusan Hotel MS Garden Kuantan, Pahang.

Muhammad Salleh juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Hotel Seri Malaysia.

“Muhammad Salleh telah memainkan peranan penting di mana beliau telah berjaya meningkatkan prestasi kewangan dan imej syarikat tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette