Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Empat anggota polis termasuk seorang pegawai berpangkat Inspektor yang ditahan semalam atas dakwaan memeras ugut wang sebanyak RM3 juta bagi menutup pembongkaran makmal pemprosesan dadah di Cheras pada 12 Februari lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan ke atas empat anggota polis itu diambil alih oleh Bahagian Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Kesemua mereka ditahan oleh Bahagian Jenayah Berat, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

“Polis akan mengambil tindakan dalam masa terdekat ini dan kita sedang mengumpul segala fakta-fakta menerusi pasukan siasatan khas yang telah ditubuhkan serta-merta di Bukit Aman.

“Kita sudah kenal pasti mereka (anggota dan pegawai) yang dikatakan telah terlibat dalam perbuatan tidak bertanggungjawab ini.

“Apabila bukti dikumpulkan, kita akan bertindak selanjutnya. Tiada kompromi untuk mereka dalam hal ini,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis Jalan Semarak tengahari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Penggantian Lif melibatkan Kementerian Dalam Negeri dan kementerian Kerja Raya.

Turut hadir Ketua Setiausaha KDN, Datuk Jamil Rakon dan Ketua Pengarah KKR, Ir Kamaluddin Abdul Rashid.

Abdul Hamid berkata, wang RM3 juta itu masih belum ditemui dan kes masih di peringkat awal.

“Soal siasat sedang dijalankan ke atas mereka dan semua yang tersembunyi akan terdedah kelak,” tegasnya.

MalayMail hari ini mendedahkan kesemua empat suspek itu dicekup sekitar jam 9.45 pagi semalam.

Penahanan itu dibuat oleh pasukan khas Unit Jenayah Berat D9 JSJ IPK Kuala Lumpur susulan  satu laporan peras ugut wang yang dibuat oleh seorang ahli perniagaan warga Taiwan di Balai Polis Salak Selatan.

Ahli perniagaan berusia 49 tahun itu telah ditangkap dalam kes dadah sebelum ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast