Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Kabinet digesa supaya menggunakan kebijaksanaan akal bukan dengan terus menerima cadangan pindaan terhadap hukuman kepada pemandu mabuk yang melanggar mati orang lain yang hanya digantung lesen.

Presiden penaja parti Putra Malaysia, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan barisan kabinetnya tidak perlu terburu-buru menetapkan pindaan itu sebaliknya mendengar cadangan dari pelbagai pihak.

Katanya, sayap parti itu, Wira Wati telah melancarkan kempen kesedaran “Jangan Minum, Mabuk dan Pandu Malaysia” bagi mendapatkan sokongan pelbagai lapisan rakyat negara ini mengenai cadangan sesuai kepada pemandu mabuk.

“Selain idea cadangan gantung lesen memandu, kerajaan dikatakan mahu mengenakan hukuman penjara 20 tahun jika menyebabkan kematian kepada orang lain.

“Mabuk, pandu kenderaan kemudian langgar orang sampai mati. Pemandu dikenakan hukuman 20 tahun dan tolak diskaun 10 peratus tinggal 18 atau 17 tahun.

“Malah, ada dalam kalangan cerdik pandai boleh buat cadangan tidak perlu hukuman berat, cukup gantung lesen sahaja,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Soal Ibrahim, bolehkah rakyat menerima cadangan seperti itu?

Katanya, pihak yang membuat cadangan itu seolah ada kepentingan peribadi bukan memikirkan kepentingan umum dan negara.

Beliau berkata, dahulu kerajaan Barisan Nasional (BN) memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan selepas akta itu tiada, apa sudah jadi dengan keadaan keselamatan negara.

“Di zaman BN ketika ISA dimansuhkan, Mahathir yang ketika itu berada di blok pembangkang sendiri tidak bersetuju dan dalam banyak ucapannya, dia tidak setuju ISA dimansuh.

“Tidak lama lagi ada juga desakan hendak memansuhkan Akta Hasutan, kononnya terkandung dalam janji manifesto Pakatan Harapan (PH) dan sebagainya.

“Saya hendak beritahu kepada pihak yang membuat desakan itu, untuk memansuhkan Akta Hasutan mesti mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya.

Jelas beliau, polis memerlukan instrumen untuk menjaga keamanan negara dan tidak boleh sewenang-wenangnya dimansuhkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast