Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan telah menyediakan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM400 juta untuk projek sekolah daif di Sarawak pada tahun ini berbanding RM100 juta pada 2019.

Peruntukan tersebut hendaklah digunakan untuk membaik pulih sekolah daif termasuk membangun semula bilik darjah yang tidak dapat dibaiki.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, peruntukan itu tidak boleh digunakan untuk menutup dan menggabungkan beberapa buah sekolah dengan tujuan semata-mata untuk membina sebuah sekolah baharu seperti yang dicadangkan Jabatan Pendidikan Negeri pada tahun lepas.

Sebaliknya, semua kelulusan yang diperlukan daripada Kementerian Kewangan telah pun disempurnakan dan tertakluk kepada agensi teknikal yang berkenaan untuk melaksana dan menyegerakan kerja membaik pulih sekolah daif di Sarawak.

Beliau turut mengesahkan bahawa Kementerian Kewangan sudah menerima bayaran balik peringkat kedua pinjaman sebanyak RM350 juta daripada Kerajaan Negeri Sarawak pada 6 Februari 2020.

“Saya telah mengarahkan supaya peruntukan peringkaat kedua RM350 juta yang baharu ini bagi pelaksanaan sekolah daif Fasa II disalurkan secepat mungkin kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Projek Pembangunan Semula Sekolah Daif Di Negeri Sarawak Di Bawah Peruntukan RM1 Bilion (Fasa 1: RM350 juta) yang dibiayai menggunakan bayaran balik pinjaman Kerajaan Negeri Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan.

Pelaksanaan Fasa 1 ini melibatkan cadangan pembinaan 37 buah sekolah oleh KPM pada tahun lepas dan peruntukan RM350 juta telah pun disalurkan kepada kementerian terbabit pada tahun lepas.

Tambahnya, daripada pembinaan 37 buah sekolah tersebut, 21 buah sekolah telah ditender, enam projek telah pun dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST).

Projek SK Abang Amin, Meradong dan SK Abun Matu, Belaga telah memulakan kerja-kerja di tapak dan baki 15 buah sekolah lagi yang telah ditender akan dimuktamadkan oleh Lembaga Perolehan Perbendaharaan Malaysia Sarawak pada
21 Februari 2020.

Pelaksanaan tender bagi 16 buah sekolah lagi telah ditangguhkan bagi membolehkan KPM dan Jabatan Kerja Raya Sarawak mengkaji semula skop dan kos pelaksanaan projek.

Dijangkakan pelaksanaan sekolah ini akan ditender pada bulan Mac 2020.

Penangguhan ini juga disebabkan cadangan untuk menutup dan menggabungkan beberapa buah sekolah rendah untuk membuka sebuah sekolah baharu, yang tidak dipersetujui oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya.

Cadangan penggabungan ini dikhuatiri akan melibatkan penutupan sekolah yang berada berhampiran dengan penempatan komuniti setempat untuk membina sekolah di lokasi baru yang lebih jauh.

Keadaan ini mungkin akan menyebabkan keciciran pelajar atas faktor jarak yang lebih jauh serta kos pengangkutan yang tinggi untuk pelajar tiba di sekolah.

Oleh itu, kata Guan Eng, cadangan penutupan sekolah ini tidak dipersetujui dan harus digunakan untuk memperbaiki sekolah sedia ada tanpa mengurangkan bilangan sekolah. – MalaysiaGazette