KUALA LUMPUR – Pereka fesyen tersohor Datuk Rizalman Ibrahim mengumumkan bersara daripada industri itu selepas 30 tahun.

Keputusan mengejut tersebut diumumkannya sendiri semasa pertunjukan fesyen Kesuma Jiwa 2020 di Istana Budaya, Kuala Lumpur malam tadi.

“Ini pertunjukan fesyen saya yang terakhir. Dengan rasa rendah diri saya mengumumkan persaraan saya dari dunia fesyen,” katanya disambut dengan sorakan kekecewaan peminat yang hadir.

Mengulas lanjut Rizalman, 49, berkata, beliau nekad dengan keputusannya selepas beberapa kematian rakan dalam industri seni yang mengejutkan dan menginsafkannya baru-baru ini.

“Kematian beberapa teman membuatkan saya terkesan dan terfikir bahawa Allah boleh saja mengambil nyawa kita pada bila-bila masa.

“Saya takut tidak bersedia apabila dijemput oleh Allah. Saya mahu pergi dalam keadaan bersedia.Pengunduran ini adalah pelan persiapan saya untuk menghadapi hari kemudian,” katanya lagi.

Rizalman turut mengumumkan menyerahkan jawatan dan tugasnya kepada pemangkunya, Faizul.

Pertunjukan fesyen terakhir daripada Rizalman semalam turut disertai dengan keberangkatan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.-MalaysiaGazette