SHAH ALAM – Istilah Pakatan Nasional (PN) tidak pernah ditimbul dan dibincangkan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sama ada oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahupun Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashin, sebaliknya istilah PN sengaja diwujudkan oleh bekas ahli MKT UMNO, Datuk Lokman Noor Adam hingga menyebabkan beliau disingkirkan.

“Istilah PN sendiri tak tahu mari dari mana, mungkin disebabkan oleh bekas MKT UMNO, Lokman yang keluarkan nama PN.

“Sebenarnya kalau ikut kenyataan Timbalan Presiden UMNO tak ada pun, tak pernah dibincangkan pun.

“Jadi ini sedikit banyak menggusarkan kita orang bawah ini apabila ada pakatan seumpama ini,” katanya dalam Program Bual Santai bertajuk Nasib Anak Muda di Zaman Kerajaan Malaysia Baharu anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Shah Alam, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, ketika ini UMNO dan Pas hanya mempunyai satu sahaja kerjasama politik melalui Muafakat Naisonal (MN).

“Kita pastikan MN ini terus berjaya utuh kerana kita nampak rakyat begitu menerima formula MN INI.

“Ia adalah sejarah politik negara kita, apabila dua parti Melayu Islam terbesar yang dulunya bermusuh-musuhan dari segi politik akhirnya dapat disatukan, duduk semeja apabila tidak memerintah negara,” katanya.

Beliau tidak melihat PN akan memberi jaminan masa kepada masa depan kepada rakyat Malaysia kerana ia masih samar-samar.

“Kalau nak cakap PN ini adalah pakatan politik, kena pandang dari sudut politik

“Dalam negara kita pada hari ini kerajaan terbentuk hasil gabungan daripada campuran beberapa parti.

“Tiada mana-mana parti boleh kata dia mempunyai bilangan kerusi Parlimen yang kuat, dalam Dewan Rakyat nak kata Bersatu kuat, tak boleh, nak kata PH kuat tak boleh, nak kata UMNO kuat, tak boleh.

“Sebab itu kita kena bersedia dengan kemungkinan-kemungkinan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette